EKONOMI

Dr Ling Tinggalkan Legasi Berkekalan Dalam Infrastruktur Pengangkutan, Logistik Malaysia

04/04/2026 09:34 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Mendiang Tun Dr Ling Liong Sik memainkan peranan penting dalam memperkukuh infrastruktur pengangkutan Malaysia, dengan meninggalkan legasi berkekalan membabitkan pelabuhan, lapangan terbang dan rangkaian logistik yang terus menyokong daya saing negara, kata pemain industri.

Beliau juga merupakan antara ahli politik paling lama berkhidmat di negara ini, memegang jawatan Menteri Pengangkutan dari 1986 hingga 2003 dan memimpin parti MCA selama 17 tahun.

Sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan menghargai jasa dan sumbangannya kepada negara, Persatuan Perkapalan Malaysia (SAM) berkata sepanjang tempoh beliau sebagai Menteri Pengangkutan, Dr Ling telah menyediakan visi dan kepimpinan yang mentransformasikan Pelabuhan Klang menjadi pusat kargo utama negara serta hab pemunggahan kargo serantau dan pintu masuk logistik terkemuka.

"Pada pertengahan 1990-an, SAM bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan di bawah kepimpinannya untuk memajukan inisiatif yang meningkatkan kecekapan operasi, kesalinghubungan dan daya saing di Pelabuhan Klang, yang kini tersenarai antara 10 pelabuhan kontena tersibuk di dunia.

“Di bawah kepimpinan beliau juga menyaksikan kejayaan pengkorporatan dan pertumbuhan pengendali pelabuhan utama termasuk Westports, Northport dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), sekali gus mewujudkan ekosistem pelabuhan yang lebih cekap dan berorientasikan komersial," kata persatuan itu kepada Bernama.

SAM berkata Dr Ling turut memainkan peranan penting dalam memastikan kehadiran Evergreen, Cosco, Maersk dan Mediterranean Shipping Company (MSC) untuk mengendalikan hab pemunggahan kargo mereka di pelabuhan berkenaan di Malaysia.

Persatuan itu berkata dasar berpandangan jauh beliau mengenai pembangunan pelabuhan dan kesalinghubungan perkapalan antarabangsa telah memperkukuh kedudukan Malaysia dalam perdagangan global secara signifikan dan legasinya akan terus memberi manfaat kepada pelabuhan serta industri maritim untuk tahun-tahun mendatang dan akan sentiasa dikenang.

Turut menzahirkan ucapan takziah, Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Jacob Lee Chor Kok berkata pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang mula beroperasi pada 1998, dilaksanakan semasa tempoh perkhidmatan Dr Ling, menandakan peningkatan besar dalam kapasiti pengendalian kargo dan penumpang serta mengukuhkan keupayaan perdagangan dan logistik Malaysia.

KLIA telah menempatkan Malaysia sebagai hab penerbangan serantau dengan kemudahan kargo bersepadu yang menyokong eksport yang memerlukan penghantaran tepat pada masanya, terutama dalam sektor elektrik dan elektronik serta sektor pembuatan bernilai tinggi yang lain, katanya.

Dalam bidang logistik, Lee berkata Dr Ling juga menyumbang kepada penambahbaikan koridor Lebuhraya Utara–Selatan dan menambah baik kesalinghubungan pelabuhan, sekali gus mengukuhkan hubungan antara kluster pembuatan dan pintu masuk utama.

“Apa yang dibangunkan ini telah mengurangkan masa transit, menurunkan kos logistik domestik dan membolehkan jadual pengeluaran serta eksport yang lebih boleh dipercayai.

“Sehubungan itu, pengembangan pelabuhan, lapangan terbang dan kesalinghubungan jalan raya semasa tempoh perkhidmatan mendiang telah mewujudkan sistem logistik nasional yang terkoordinasi, yang menyokong usaha perindustrian dan pertumbuhan eksport Malaysia,” tambah Lee.

Sependapat dengan pandangan SAM dan Lee, MMC Port Holdings Bhd berkata legasi Dr Ling dalam landskap pengangkutan dan maritim akan terus menjadi inspirasi kepada pihak berkepentingan industri dalam memajukan kedudukan Malaysia sebagai hab logistik dan perkapalan yang berdaya saing serta boleh dipercayai.

Apa yang penting, ia berkata Dr Ling amat percaya pembangunan infrastruktur nasional yang strategik merupakan usaha bersama.

Sehubungan itu, syarikat logistik berkenaan berkata mendiang telah memupuk kerjasama kukuh dan memberikan sokongan kepada pengendali pelabuhan untuk memacu kecekapan, pengembangan kapasiti dan kecemerlangan perkhidmatan.

Ini membolehkan mereka membuat pelaburan dengan yakin serta menyesuaikan diri dengan keperluan perdagangan global yang sentiasa berubah, katanya.

“Kepimpinan Dr Ling membantu mewujudkan persekitaran yang mana inovasi, penambahbaikan operasi dan perancangan jangka panjang dapat berkembang, menetapkan piawaian yang terus membimbing industri sehingga hari ini,” kata MMC Port dalam satu kenyataan berasingan.

-- BERNAMA

 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541070