KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan kerugian dana awam dianggar melebihi RM300 juta susulan siasatan terhadap skandal urus niaga saham melibatkan seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun kerajaan.
Menurut sumber SPRM, siasatan yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM itu turut melibatkan seorang pengerusi syarikat pegangan yang dipercayai bersubahat dengan beberapa ahli lembaga pengarah serta pemegang saham sebuah syarikat lain dalam urus niaga penjualan saham kepada badan pelaburan terbabit.
Beliau berkata siasatan mendapati penilaian harga saham yang tidak munasabah dan tidak setimpal (overvaluation) dipercayai menjadi punca utama kerugian besar kepada dana awam berkenaan.
“Hari ini SPRM menggeledah dua lagi syarikat penilaian nilai saham bagi mengesahkan nilai sebenar saham syarikat tersebut.
“Siasatan terkini turut mendapati penyelewengan ini telah dirancang secara sistematik dan dipercayai melibatkan transaksi keluar masuk wang ke akaun di luar negara,” katanya.
Sumber turut memaklumkan, setakat ini sebanyak 10 saksi telah dirakam percakapan, manakala tujuh lagi saksi dijangka dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Pengarah Kanan BOK SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi berkata fokus siasatan kini menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 selain kesalahan pecah amanah jenayah.
Beliau berkata penyiasatan turut menganalisis dan mengenal pasti elemen kesalahan jenayah lain yang berkaitan khususnya di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram.
--BERNAMA