JENAYAH & MAHKAMAH

Melaka Nafi Berlaku Catuan Air

05/04/2026 10:37 PM

MELAKA, 5 April (Bernama) -- Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad menafikan berlakunya pelaksanaan catuan bekalan air seperti yang tular di media sosial ketika ini.

Beliau berkata bekalan air di Melaka masih dalam keadaan terkawal namun cuaca panas berpanjangan serta pengurangan hujan sejak kebelakangan ini memberi sedikit kesan kepada paras sumber air mentah.

"Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri melalui BKSA (Badan Kawal Selia Air) bersama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sedang melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan bekalan air terus mencukupi dan stabil.

"Antaranya mengoptimumkan operasi loji rawatan air serta penggunaan kolam dan tasik sedia ada dan mempertingkat pemantauan sumber air mentah secara berterusan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata langkah lain yang dilaksanakan termasuk mengurangkan kehilangan air melalui kawalan kebocoran dan penambahbaikan sistem agihan.

"Kerajaan negeri komited memastikan usaha-usaha ini dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan bekalan air sentiasa terpelihara.

"Pada masa sama, orang ramai diseru untuk bersama-sama memainkan peranan dengan menggunakan air secara berhemat dan mengelakkan pembaziran," katanya.

Menurut Azhar, sokongan semua pihak amat penting dalam memastikan bekalan air kekal mencukupi untuk kegunaan bersama dan orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat hanya daripada saluran rasmi Kerajaan Negeri Melaka serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih.

"Semoga Melaka terus diberkati dan dikurniakan hujan yang mencukupi di kawasan tadahan air," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541268