AM

Pemergian Karam Singh Walia Kehilangan Besar - Fahmi

06/04/2026 09:40 AM

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan pemergian wartawan penyiaran terkenal Datuk Karam Singh Walia sebagai kehilangan besar kepada dunia kewartawanan negara.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata Karam Singh yang tidak asing dalam kalangan rakyat Malaysia telah meninggalkan kesan mendalam sepanjang penglibatannya dalam dunia penyiaran.

“Beliau sentiasa mewarnai penyampaian berita dengan gaya tersendiri.

“Sesiapa sahaja yang menonton Buletin TV3, khususnya dari era 90-an hingga sekitar 2014, pasti cukup mengenali penampilan beliau yang begitu sinonim dengan pantun yang mengakhiri setiap laporan … satu identiti unik yang kekal dalam ingatan ramai,” katanya.

Fahmi berkata beliau antara yang setia mengikuti laporan mendiang dan amat menghargai dedikasi serta sumbangan Karam Singh kepada dunia penyiaran.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada adik mendiang wartawan itu, Jasbant Singh, Pengarang Urusan Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima serta seluruh ahli keluarga atas kehilangan itu.

“Semoga damai di sana,” katanya.

Dilahirkan pada 1959 di Teluk Intan, Perak dalam keluarga bekas anggota polis, Karam Singh, 67, memulakan kerjaya sebagai wartawan penyiaran di TV3 pada 1995 sebelum bersara pada 2014 berikutan masalah kesihatan.

Beliau yang dikenali sebagai antara wartawan alam sekitar paling berpengaruh di negara ini pernah memenangi Anugerah Seri Angkasa sebanyak dua kali serta Anugerah Institut Akhbar Malaysia (MPI) bagi kategori Wartawan Televisyen Alam Sekitar Terbaik selama empat tahun berturut-turut dari 2004 hingga 2007.

Mendiang merupakan antara penerima Tabung Kasih @HAWANA dalam kalangan media pada Jun 2024.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541378