AM

Pemberian Khas 40 Peratus: Penggantungan Perintah Mahkamah Elak Rayuan Jadi Sia-sia - AGC

06/04/2026 06:38 PM

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memaklumkan bahawa perintah penggantungan pelaksanaan penghakiman berhubung kajian semula Pemberian Khas Negeri Sabah adalah bagi membolehkan rayuan Kerajaan Persekutuan didengar serta tidak menjadi akademik dan sia-sia.

Menurut kenyataan AGC hari ini, perintah penggantungan yang diputuskan Mahkamah Rayuan hari ini tidak meliputi dapatan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkenaan peruntukan 40 peratus di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menggantung pelaksanaan penghakiman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 2025 berhubung kajian semula Pemberian Khas Negeri Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021, sementara menunggu pendengaran rayuan di Mahkamah Rayuan.

“Jabatan Peguam Negara juga menegaskan bahawa rayuan difailkan Kerajaan Persekutuan bukan terhadap formula 40 peratus itu, sebaliknya melibatkan tafsiran peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan serta dapatan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan sejak 1974,” menurut AGC.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Okt tahun lepas, memutuskan Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.

Mahkamah turut mengarahkan semakan dibuat dalam tempoh 90 hari, manakala persetujuan bersama antara kedua-dua kerajaan perlu dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan berhubung tuntutan pemberian khas 40 peratus hak Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021.

Perintah itu dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) terhadap Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sabah berkaitan hak perlembagaan negeri itu untuk menuntut 40 peratus daripada hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541670