PETALING JAYA, 6 April (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap bekas pengasuh bayi perempuan bernama Qaseh Aulia selepas didapati bersalah atas pertuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian bayi itu di sebuah taska, tiga tahun lepas.
Hakim Dr Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman itu terhadap warga Indonesia Mulyati Kalim, 54, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
"Setelah mahkamah mendengar keterangan saksi pembelaan dan pendakwaan secara maksimum serta meneliti hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah,” kata hakim itu.
Mahkamah memerintahkan Mulyati menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan pada hari ini, dan tertuduh perlu menjalani bon berkelakuan baik dalam tempoh tiga tahun dengan dua penjamin warganegara tempatan, berserta cagaran RM5,000.
Selain itu, mahkamah turut mengarahkan Mulyati menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman pemenjaraan.
-- LAGI
MAHKAMAH-BAYI 2 PETALING JAYA
Pada masa sama, mahkamah menolak permohonan Mulyati untuk penangguhan hukuman dan dia diperintahkan menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula pada hari ini.
Mengikut pertuduhan, Mulyati didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap bayi perempuan bernama Qaseh Aulia Faizul yang berusia dua bulan 26 hari (usia sewaktu kejadian) telah bertindak secara cuai sehingga menyebabkan kematian bayi itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah taska di Kota Damansara dekat sini pada 9.40 pagi, 10 Okt 2023 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Badrul Munir Bukhari yang mewakili Mulyati memohon mahkamah mengenakan hukuman tidak melibatkan pemenjaraan kerana anak guamnya mempunyai empat anak, selain banyak menghabiskan masa dengan menangis mengenangkan insiden yang telah berlaku.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khaire memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana kejadian itu disebabkan kecuaian tertuduh sehingga mangsa kehilangan nyawa.
"Ibu bapa mangsa dalam kes ini menunggu kelahiran Qaseh Aulia selama lima tahun. Kejadian ini telah memberikan kesan kepada ibu bapa mangsa yang telah kehilangan anaknya," kata Ahmad Loqman.
Sementara itu, bapa Qaseh Aulia, Faizul Ali Adam, 36, berkata keputusan pada hari ini diharap dapat memberikan pengajaran kepada semua pihak, khususnya pengusaha taska agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan kanak-kanak.
"Walaupun hukuman ini tidak mampu mengembalikan nyawa anak kami, sekurang-kurangnya ia memberikan sedikit kelegaan dan menjadi peringatan kepada masyarakat. Kami bukan mahu membalas dendam, tetapi hanya menuntut keadilan untuk anak kami," katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah selepas prosiding kes.
Ibu kepada Qaseh Aulia, Maisarah Rosli, 36, pula bersyukur dan menghormati keputusan mahkamah, namun mengakui kehilangan anaknya masih dirasai hingga kini.
"Saya tak mahu ibu bapa lain melalui apa yang kami lalui. Sudah tiga tahun kami tidak dapat melihat dia membesar," katanya sebak.
-- BERNAMA