JENAYAH & MAHKAMAH

Mas Ermieyati Diarah Bayar Ganti Rugi RM50,000 Kepada MARA, Asyraf Wajdi

06/04/2026 05:28 PM

MELAKA, 6 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin membayar ganti rugi RM50,000 berhubung kenyataan fitnah terhadap Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada tahun lepas.

Peguam Datuk Adnan Seman@Abdullah, yang mewakili Asyraf Wajdi, berkata mahkamah turut mengarahkan Mas Ermieyati membuat permohonan maaf dalam tempoh 14 hari serta menarik balik tiga video dan kenyataan yang dimuat naik di media sosial yang didakwa memfitnah MARA dan anak guamnya.

“Selepas proses pengantaraan yang dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman (Isa Aziz Ibrahim) dan perbicaraan yang ditetapkan hari ini tidak diteruskan, defendan akhirnya bersetuju terdapat kenyataan-kenyataan yang tidak benar serta berunsur fitnah ke atas MARA dan juga Datuk Dr Asyraf melalui penerbitan (video dan kenyataan) yang telah dibuat.

“Kes telah pun diselesaikan dengan satu penghakiman persetujuan yang direkodkan di mahkamah,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Melaka hari ini.

Tahun lepas, Asyraf Wajdi memulakan prosiding mahkamah terhadap Mas Ermieyati yang didakwa telah memfitnahnya menghabiskan duit MARA serta tidak membiayai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Mas Ermieyati diwakili peguam Zulfahami Abu Bakar pada proses pengantaraan yang melibatkan ketiga-tiga pihak hari ini.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata ganti rugi yang diterima oleh pihaknya akan dimasukkan ke dalam Wakaf MARA MADANI (WMM) untuk manfaat pelajar di bawah seliaan agensi berkenaan.

"Daripada awal lagi, ini bukan soal berapa nilai ganti rugi tetapi soalnya adalah fitnah... yang saya rasa fitnah ini tidak boleh jadi bahan ruji bagi ahli-ahli politik apatah lagi apabila melibatkan institusi yang banyak jasanya kepada orang Melayu dan Bumiputera. 

"Sepatutnya ada sempadan, walaupun kita boleh berbeza pandangan terutama melibatkan institusi kita sendiri... MARA ini bukan milik satu-satu pihak, ia milik kita bersama," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541642