AM

Food Bank @ UniMAP Langkah Proaktif Perkukuh Kebajikan Pelajar

07/04/2026 08:30 PM

ARAU, 7 April (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil langkah proaktif memperkukuh kebajikan pelajar menerusi pelaksanaan Food Bank @ UniMAP bagi membantu pelajar universiti itu menghadapi peningkatan kos sara hidup semasa.

Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zaliman Sauli berkata inisiatif itu merupakan pendekatan responsif universiti tersebut bagi memastikan keperluan asas pelajar UniMAP terus terpelihara khususnya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Prapelancaran ini menjadi permulaan kepada pelaksanaan Food Bank @ UniMAP yang lebih sistematik dan mesra pelajar, termasuk penggunaan sistem imbasan kad matrik bagi memastikan agihan bantuan lebih tersusun dan bersasar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Prapelancaran Food Bank @ UniMAP serta melancarkan Kempen Penjimatan Kos dan Gaya Hidup Berhemah di sini hari ini.

Zaliman berkata inisiatif itu akan diperluas ke semua kolej kediaman selewat-lewatnya penghujung Mei ini bagi memastikan akses bantuan yang lebih menyeluruh kepada pelajar, khususnya daripada golongan B40 dan asnaf.

Selain itu, beliau berkata UniMAP turut memperkenalkan kupon bantuan makanan bernilai RM50 kepada pelajar layak, yang dijangka memberikan manfaat kepada lebih 9,000 pelajar sebagai langkah segera mengurangkan beban perbelanjaan harian.

“Kupon ini digunakan secara berperingkat dengan had penggunaan harian bagi menggalakkan pelajar mengurus kewangan secara berhemah dan akan diberikan kepada pelajar dalam tempoh lagi dua minggu,” katanya.

Zaliman berkata usaha itu juga selari dengan aspirasi kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkukuh agenda kesejahteraan mahasiswa di institusi pendidikan tinggi.

“UniMAP bukan sekadar mendidik, tetapi memastikan tiada pelajar tercicir dari segi kebajikan dan keperluan asas,” katanya.

Sementara itu, Zaliman berkata pelancaran Kempen Penjimatan Kos dan Gaya Hidup Berhemah bertujuan membentuk pelajar lebih berdaya tahan termasuk menggalakkan penggunaan kemudahan kampus secara optimum serta amalan berkongsi kenderaan bagi menjimatkan kos.

-- BERNAMA

 

 

 


 

KEYWORDS
         
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2542214