AM

Kehadiran Calon, Komitmen Bersepadu Sumbang Pencapaian Cemerlang SPM 2025 WPKL

07/04/2026 08:48 AM

Oleh Siti Nur Athirah Abdullah

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terus mencatat peningkatan membanggakan, didorong kehadiran calon yang lebih tinggi di sekolah serta komitmen bersepadu semua pihak.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) Megat Affandi Ismail berkata peratusan calon layak mendapat sijil meningkat kepada 93.35 peratus berbanding 92.82 peratus pada 2024, sekali gus mengekalkan trend peningkatan selama lima tahun berturut-turut.

“Gred Purata Negeri turut bertambah baik kepada 4.57 daripada 4.61 iaitu suatu peningkatan empat tahun berturut-turut, manakala peratus lulus semua mata pelajaran meningkat kepada 56.83 peratus berbanding 56.79 peratus pada 2024,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata peningkatan kehadiran calon ke sekolah kepada 98.47 peratus menjadi antara faktor utama yang memberi impak langsung terhadap penguasaan mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu dan Sejarah.

“Alhamdulillah, dalam tempoh empat tahun, kehadiran calon meningkat secara signifikan. Kehadiran yang konsisten amat penting bagi memastikan calon menguasai semua mata pelajaran dan layak menerima sijil,” katanya.

Megat Affandi berkata komitmen guru, pengetua, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pelaksanaan inisiatif seperti program KGURU dan Melindungi Masa Instruksional (MMI) menjadi pemangkin kejayaan, serta membolehkan guru berkongsi kepakaran antara sekolah sambil mengekalkan fokus pengajaran di bilik darjah.

“KGURU ialah kalau contoh sekolah A dia mengajar, kemudian dia nak guna kepakaran sekolah B ataupun C boleh digunakan. Padahal ketika PDP itu sedang berjalan guru di sekolah C dan D pun boleh mendengar sendiri apa yang guru-guru sekolah A ajar.

“Maksudnya kita jadi team-teaching. Ini merupakan pendekatan yang saya rasa berkesan dan secara tak langsung juga dapat mengurangkan isu MMI kita,” katanya.

Dalam pada itu, prestasi pelajar Pendidikan Khas (PPKI) turut menunjukkan peningkatan apabila peratus Petunjuk Prestasi Utama (PPU) kebolehpasaran meningkat kepada 84.57 peratus berbanding KPI yang ditetapkan sebanyak 83.50 peratus, manakala peratus layak sijil meningkat kepada 82.61 peratus daripada 81.48 peratus pada 2024.

Megat Affandi berkata pelbagai inisiatif termasuk penambahbaikan fasiliti dan pendekatan pengajaran bersasar telah dilaksanakan bagi merapatkan jurang antara pelajar pendidikan khas dan arus perdana.

“Seorang pelajar arus perdana berstatus Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) Masalah Pembelajaran di SMK Segambut Jaya, telah memperoleh keputusan cemerlang 11A dalam peperiksaan SPM 2025,” katanya.

Megat Affandi berkata kohort SPM 2025 berdepan pelbagai cabaran, termasuk tidak menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan menerima kesan pandemik COVID-19.

“JPWPKL telah menjangkakan cabaran ini dan melaksanakan langkah komprehensif bagi memastikan prestasi tidak terjejas, termasuk usaha berterusan meningkatkan kehadiran pelajar,” katanya.

Beliau berkata sokongan pihak luar termasuk Ahli Parlimen, agensi kerajaan dan komuniti setempat memainkan peranan penting dalam memperkukuh pendidikan di Kuala Lumpur.

“Budaya kerjasama ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan, sejajar aspirasi Kuala Lumpur sebagai peneraju reformasi pendidikan negara,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541753