AM

SMK Bukit Jambul Ungguli SPM 2025, Catat GPS Terbaik Negeri Hasil Komitmen Semua Pihak

04/04/2026 07:09 PM

GEORGE TOWN, 4 April (Bernama) -- Reputasi sebagai antara sekolah harian biasa yang hampir saban tahun mencatatkan keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin menyerlah apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul sekali lagi mengukir kejayaan membanggakan.

Mencatatkan gred purata terbaik negeri iaitu 1.68 berbanding 1.75 pada tahun sebelumnya selain empat pelajar merangkul semua A+ manakala 49 lagi mendapat semua A dan 100 peratus lulus semua mata pelajaran, menjadikan keputusan SPM 2025 antara pencapaian terbaik sekolah itu. 

Kejayaan itu lebih bermakna kerana diraikan bersempena Jubli Perak sekolah berkenaan selain SMK Bukit Jambul sekali lagi dinobatkan sekolah terbaik negeri, meneruskan kecemerlangan selepas menduduki tempat pertama terbaik SPM 2021, kedua (2022) dan pertama (2023).

Pencapaian membanggakan sekolah harian biasa itu menjadi bukti jelas pendekatan bersepadu dan holistik yang menekankan kolaborasi erat antara pihak sekolah, guru, pelajar serta ibu bapa menjadi resipi kejayaan, sekali gus mewujudkan ekosistem pembelajaran yang kondusif dan berdaya saing.

Kejayaan itu tidak akan diperoleh tanpa pengorbanan guru yang komited dan tanpa mengenal erti penat lelah sentiasa memastikan setiap pelajar benar-benar memahami topik diajar dan tidak ketinggalan termasuk melalui bimbingan di luar waktu kelas serta ketika cuti sekolah.

Dedikasi luar biasa guru diakui tiga sahabat baik Khor Xin Yu, D.Savitta dan S.Nievedhaa yang memperoleh keputusan cemerlang 9A+ bagi semua mata pelajaran diambil, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Pendidikan Moral, Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan. 

Khor, 18, berkata keputusan cemerlang itu tidak akan terhasil tanpa sokongan dan kerja keras guru yang sentiasa memberi dorongan serta tumpuan kepada semua pelajar yang menduduki peperiksaan SPM bukan sahaja dari segi pembelajaran tetapi juga motivasi. 

“Selain bersemuka, cikgu turut membuat kelas dalam talian. Cikgu banyak membantu saya mengulang kaji pelajaran dan kami juga boleh menghantar mesej pada bila-bila masa jika ada sebarang soalan atau tidak faham dan mereka menjawab tanpa mengira waktu,” katanya kepada Bernama. 

Nievedhaa, 18, yang bercita-cita menjadi peguam atau doktor bersama-sama ibu bapanya juga menyifatkan keputusan cemerlang diperoleh bukan hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya dipacu oleh dedikasi berterusan guru sekolah itu.

“Walaupun kelas tambahan dibuat selepas waktu sekolah, cikgu tetap bersemangat mengajar. Itu yang buat kami rasa lebih bertanggungjawab untuk belajar bersungguh-sungguh. Kami juga memanfaatkan sesi pembelajaran berkumpulan untuk berkongsi ilmu dan mengukuhkan kefahaman,” katanya.

Ibu Nievedhaa, K.Vindhyaratchani, 48, pula berkata komunikasi yang baik antara pihak sekolah dan ibu bapa penting dalam memastikan perkembangan pelajar sentiasa dipantau selain memudahkan sokongan penuh diberikan kepada anak-anak setiap kali terdapat sebarang program atau kelas tambahan di sekolah.

“Saya lihat sendiri bagaimana pihak sekolah sentiasa memberi perhatian kepada setiap pelajar. Guru-guru bukan sahaja mengajar tetapi benar-benar mengambil berat tentang prestasi dan masa depan anak-anak,” katanya.

Di sebalik gerak kerja guru, pengetua sekolah Ilhiana Ismail, 55, memainkan peranan penting sebagai penggerak utama dan sentiasa memberi dorongan serta motivasi kepada guru agar terus komited mendidik pelajar walaupun berhadapan pelbagai cabaran.

Ilhiana berkata kejayaan tersebut bukan secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha berterusan seluruh warga sekolah, ibu bapa, pelajar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah yang komited memastikan setiap pelajar mendapat bimbingan sewajarnya.

Beliau berkata antara inisiatif utama yang diperkenalkan ialah program “guru muda” iaitu pendekatan pembelajaran rakan sebaya melibatkan pelajar cemerlang yang diberi kelas pengukuhan sebelum membantu rakan lain melalui sesi perbincangan dan kumpulan belajar.

“Inisiatif ini membantu meningkatkan kefahaman pelajar yang lemah dan mengasah kemahiran komunikasi serta kepimpinan pelajar. Kita percaya setiap pelajar ada potensi untuk berjaya jika diberi peluang dan sokongan yang betul. Betapa komitednya guru-guru di sini. 

“Contohnya, seorang guru wanita yang mengajar Matematik Tambahan sedang cuti sakit selama setahun. Tetapi, beliau komited melaksanakan kelas secara dalam talian biarpun ketika itu sedang sakit dan memerlukan rawatan serta berehat," katanya yang menambah sekolah turut mengadakan program intervensi awal mengenal pasti pelajar yang memerlukan perhatian khusus. 

Sementara itu, Pengerusi PIBG SMK Bukit Jambul Rosli Mat Abu, 61, berkata pihak sekolah sentiasa memberi kerjasama terbaik kepada ibu bapa untuk memastikan kecemerlangan pelajar berdasarkan pengamatannya selama menjadi pengerusi selama lapan tahun. 

“PIBG sentiasa berikan dorongan kepada pihak sekolah untuk laksanakan apa sahaja program untuk pelajar bahkan kami cuba bantu apa yang boleh misalnya, sumbangan kewangan untuk melaksanakan sesuatu program buat pelajar,” katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata pihaknya melaksanakan beberapa intervensi awal  tahun ini antaranya, mendapatkan maklumat terperinci pelajar lemah agar tindakan segera dapat diambil. 

JPN Pulau Pinang menurut beliau turut melaksanakan dialog prestasi secara fokus dengan semua pengetua sekolah menengah dari semasa ke semasa bagi menilai potensi pelajar, hala tuju, komitmen sekolah selain memberikan pendedahan serta bimbingan berterusan kepada sekolah yang terlibat.

“Kami juga bekerjasama dengan Pusat Pendidikan Sains dan Matematik Serantau, Institut Pendidikan Guru Pulau Pinang dan Kampus Tunku Bainun bagi menjalankan kajian berhubung beberapa subjek supaya dapat kita laksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541060