JENAYAH & MAHKAMAH

Rumah Keluarga ADUN Seremban Jaya Musnah Terbakar 

07/04/2026 11:55 AM

Oleh Sarinah Mat Kasim

SEREMBAN, 7 April (Bernama) -- Rumah keluarga kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya Datuk P. Gunasekaran musnah dalam kebakaran di Kampung Baru Rahang, di sini malam tadi.

Gunasekaran berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira  9 malam selepas adiknya P. Minnal Veeran, 61, bersama isteri,J. Arasi, 53, dan dua anak mereka keluar untuk makan malam.

Beliau berkata rumah itu dibeli pada  tahun 1990 ketika mendiang ibu dan bapanya serta tiga adik-beradik lain tinggal di situ.

"Rumah lama itu banyak kenangan. Kami adik-beradik dulu tinggal bersama, namun selepas saya membeli sebuah rumah lain, adik pula yang tinggal di sini bersama keluarganya.

"Saya anggarkan kerugian lebih kurang RM40,000 kerana banyak barang berharga termasuk peralatan katering, barangan elektrik dan barangan lama di rumah itu, yang tidak dapat diselamatkan,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata buat masa ini adiknya tinggal di rumah anak perempuannya di Senawang, dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sementara itu, Komander Operasi Helmi Mohd Fauzi berkata sebanyak 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban dengan bantuan BBP Ampangan dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 10 malam sebelum tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.

“Kebakaran membabitkan rumah berkeluasan 30 x 50 kaki persegi yang terbakar hampir 95 peratus, operasi selesai pada 11.52 malam, dan tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya sambil menambah punca kebakaran masih dalam siasatan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541867