JENAYAH & MAHKAMAH

Suri Rumah Mengaku Tidak Bersalah Tipu Urusan Tempahan Barang Emas RM173,500

05/04/2026 02:16 PM

ALOR SETAR, 5 April (Bernama) -- Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, terhadap lapan pertuduhan penipuan tempahan barang emas tidak wujud membabitkan kerugian RM173,500 dua tahun lepas.

Siti Hajartul Haini Abd Hamid, 39, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.

Tertuduh didakwa menipu seorang wanita berusia 55 tahun dengan memperdaya mangsa memasukkan wang ke dalam akaun bank tertuduh di Kampung Mani Mukim Belimbing Kanan di Padang Terap, dari 2 Jun 2024 hingga 16 Ogos 2024.

Mangsa diperdaya memasukkan wang berjumlah RM173,500 ke dalam akaun milik tertuduh menerusi beberapa transaksi dan mangsa tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdayakan.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Ku Nur Farahi Eliana Ku Abd Razak.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin, selain memerintahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah yang diberitahu Siti Hajartul Haini juga pernah didakwa di Kuala Lumpur dan Putrajaya, menetapkan 5 Mei depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541188