TASEK GELUGOR, 7 April (Bernama) -- Ketidaktentuan geopolitik global yang memberikan kesan kepada rantaian bekalan halal dunia tidak harus dilihat sebagai ancaman, sebaliknya membuka ruang strategik untuk Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai hab halal yang stabil dan berdaya tahan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata konflik di Asia Barat, khususnya melibatkan laluan strategik seperti Selat Hormuz telah memberikan kesan besar kepada rantaian bekalan global, serta mencetuskan kesan domino kepada industri halal daripada peningkatan kos logistik, kelewatan penghantaran dan ketidaktentuan akses pasaran.
Beliau berkata produk halal khususnya makanan segar dan barangan bersuhu terkawal sangat bergantung kepada kecekapan rantaian bekalan global yang stabil, selain kenaikan harga tenaga serta bahan mentah turut memberikan tekanan kepada kos pengeluaran.
“Namun, di sebalik cabaran ini, terdapat satu realiti yang perlu kita lihat dengan lebih strategik kerana ketidaktentuan global ini sebenarnya membuka ruang untuk Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai hab halal yang stabil, dipercayai dan berdaya tahan.
“Keupayaan kita untuk mempelbagaikan pasaran eksport, mengukuhkan rantaian bekalan domestik serta meningkatkan kecekapan logistik akan menjadi faktor penentu dalam memastikan industri halal negara terus berkembang walaupun dalam suasana global yang mencabar,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Industri PERDA Halal Park Fasa Dua di Perda Food Park, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) Datuk Dr Shaik Hussein Mydin.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata permintaan terhadap produk halal dunia yang diunjurkan mencecah sekitar USD5 trilion menjelang 2030 membuka peluang besar kepada negara untuk memperluaskan penguasaan pasaran.
“Sebab produk halal bukan hanya untuk orang Islam, malah produk halal untuk semua agama dan semua negaral, dengan Malaysia menjadi negara kepercayaan dunia dalam pengeluaran produk-produk halal.
“Ini mesti disambut bukan hanya oleh pengeluar-pengeluar produk halal di Malaysia, tetapi potensi besar ini jangan dibuat secara berkala sebaliknya ia mesti dibuat secara berterusan,” katanya.
Pengerusi Majlis Halal Negara itu berkata pada 2024, nilai eksport halal Malaysia telah mencecah RM61.79 bilion dengan produk tempatan berjaya menembusi pasaran utama seperti China, Singapura, Jepun, Amerika Syarikat dan Indonesia.
Beliau berkata sektor makanan dan minuman kekal sebagai penyumbang terbesar dengan nilai melebihi RM34.03 bilion, diikuti oleh sektor ramuan halal yang semakin berkembang.
Melalui Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030), beliau berkata negara telah menetapkan sasaran yang jelas, iaitu meningkatkan sumbangan industri halal kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada 11 peratus, mencapai nilai eksport RM70 bilion serta mewujudkan kira-kira 700,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
-- BERNAMA