Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri dagangan minggu ini dengan lebih rendah setelah pasaran mencerna data daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang menunjukkan sentimen menurun.
Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata data berkenaan menunjukkan peningkatan pengeluaran pada Mac yang lebih kukuh daripada jangkaan serta menandakan bermulanya musim hasil yang lebih tinggi menjelang suku kedua.
“Pada masa yang sama, petunjuk awal menunjukkan prestasi eksport bagi April bermula dengan lemah,” katanya kepada Bernama.
Data MPOB yang dikeluarkan hari ini menunjukkan inventori minyak sawit Malaysia merosot pada Mac iaitu penurunan bagi bulan ketiga berturut-turut serta mencecah paras terendah dalam tempoh tujuh bulan.
Hal ini disebabkan oleh lonjakan eksport yang lebih daripada mencukupi untuk mengimbangi peningkatan pengeluaran yang sederhana.
Pada penutup dagangan, kontrak April 2026 menyusut RM80 kepada RM4,491 setiap tan, kontrak Mei 2026 turun RM110 kepada RM4,500 setiap tan manakala kontrak Jun 2026 berkurang RM105 kepada RM4,538 setiap tan.
Kontrak Julai 2026 merosot RM101 kepada RM4,551 setiap tan, kontrak Ogos 2026 menyusut RM96 kepada RM4,539 setiap tan manakala kontrak September 2026 turun RM93 kepada RM4,520 setiap tan.
Jumlah dagangan berkembang kepada 94,307 lot daripada 66,606 lot pada Khamis manakala kepentingan terbuka mencatatkan angka lebih tinggi iaitu pada 259,223 kontrak daripada 258,033 kontrak.
Harga MSM fizikal untuk April Selatan susut RM70 kepada RM4,580 setiap tan.
-- BERNAMA