AM

Peraduan 'Kami Wira Antirasuah' Bentuk Generasi Berintegriti

07/04/2026 05:58 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Peraduan Persembahan Video Kreatif ‘Kami Wira AntiRasuah’  Peringkat Kebangsaan 2026 anjuran Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan impak positif dalam membentuk generasi masa depan yang berintegriti.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) Zainal Abas berkata peraduan yang mendapat sebanyak 197 penyertaan daripada 172 sekolah rendah seluruh negara itu, membuktikan bahawa pendekatan berasaskan kreativiti dan teknologi digital berupaya memperkukuh penghayatan integriti secara lebih menyeluruh dan berkesan.

 “Pendekatan ini dilihat sebagai ‘serampang dua mata’, murid dapat memahami konsep integriti dan dalam masa sama dapat mengasah kreativiti serta kemahiran digital untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat.

“Penghasilan video kreatif oleh murid sekolah rendah ini menunjukkan mereka bukan sekadar menerima maklumat, tetapi mampu menterjemah mesej antirasuah melalui idea inovatif serta aplikasi teknologi semasa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Kemuncak ‘Kami Wira AntiRasuah’ Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini. 

Zainal berkata usaha menyemai nilai integriti dalam kalangan pelajar sekolah tidak terhad kepada program bermusim seperti ini, sebaliknya dilaksanakan secara berterusan melalui pelbagai inisiatif termasuk modul antirasuah dalam platform DELIMA (pembelajaran digital), program Kedai Jujur serta penglibatan maskot rasmi SPRM, iaitu Kapten MACC.

Terdahulu, Sekolah Kebangsaan Ulu Sapi, Telupid, Sabah muncul juara peraduan berkenaan yang menonjolkan mesej mengenai kesan jangka panjang rasuah terhadap individu terlibat.

Sementara itu, guru pembimbing sekolah berkenaan Juwitah Saiti berkata walaupun sekolah pedalaman mempunyai Internet lemah dan gangguan elektrik, mereka tetap berjaya menghasilkan video yang baik, hasil kerja keras semua pihak terlibat selain turut menerima sokongan ibu bapa.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2542114