AM

Perkataan Fitnah Jejaskan Reputasi Saya Sebagai Ahli Parlimen, Menteri - Fahmi

07/04/2026 06:17 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa perkataan berunsur fitnah yang dibuat oleh pendakwah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani telah memberikan gambaran buruk terhadapnya di mata umum dan menjejaskan reputasi beliau sebagai Ahli Parlimen serta Menteri Kabinet.

Fahmi, 45, berkata banyak komen lain yang menuduh beliau berdasarkan kenyataan tidak benar yang dimuat naik oleh Ahmad Dusuki, dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan.

"Ia telah menjejaskan kredibiliti saya bukan sahaja sebagai tokoh masyarakat tetapi juga sebagai penjawat awam kerana saya dipilih untuk berkhidmat demi kepentingan rakyat... saya telah dikecam serta dimalukan oleh orang ramai sehingga merosakkan reputasi saya," katanya selaku saksi pertama.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi ketika pendengaran saman fitnahnya terhadap Ahmad Dusuki berhubung hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook dan Instagram pada 2023 di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.

Beliau berkata kenyataan itu dibuat dengan niat jahat untuk mencemarkan reputasinya dan tidak mempunyai walau sedikit pun kebenaran.

"Akibatnya, reputasi sayat telah tercemar di mata masyarakat... ini secara langsung telah menjejaskan kerjaya saya sebagai ahli politik… justeru, saya telah menjawab dakwaan itu bagi menegakkan kebenaran," katanya.

Fahmi berkata beliau terkejut dan sedih apabila tindakannya dalam memberi pencerahan kepada orang ramai mengenai isu sosial telah diputarbelitkan oleh naratif palsu yang menuduh beliau menyalahgunakan tempat ibadat untuk kepentingan politik, serta bercanggah bukan sahaja dengan Undang-Undang Syariah semasa tetapi juga titah Sultan Selangor.

"Mahkamah ini boleh membaca komen-komen kesat yang dilemparkan terhadap saya pada hantaran Facebook oleh defendan... meskipun saya percaya orang ramai mempunyai pandangan sendiri namun padangan dalam komen-komen kesat itu telah didorong oleh kenyataan palsu dalam hantaran yang dimuat naik oleh defendan," katanya.

Fahmi juga berkata hantaran itu adalah tidak benar sama sekali kerana beliau tidak menyampaikan sebarang ucapan politik atau ceramah agama yang memerlukan tauliah mengajar di masjid.

"Saya telah bersikap terbuka kepada orang ramai dalam memberikan respons, dan menjelaskan bahawa gambar-gambar tersebut telah diambil ketika saya singgah di masjid berkenaan untuk menunaikan solat fardu serta hanya dijemput secara spontan untuk memberikan penjelasan ringkas mengenai isu konsert melibatkan kumpulan dikenali sebagai 'The 1975'... perkara ini boleh disahkan oleh mereka yang hadir di masjid berkenaan pada hari tersebut," katanya.

Fahmi juga berkata beliau telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada siasatan yang dijalankan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan kedua-dua pihak berkuasa memutuskan untuk tidak mengambil tindakan lanjut kerana beliau tidak melanggar sebarang peruntukan di bawah undang-undang Syariah Selangor.

"Selain itu, terdapat kenyataan jelas dan langsung daripada kedua-dua pihak berkuasa yang menafikan hantaran defendan namun beliau tidak menarik balik kenyataannya dengan memadam hantaran tersebut, selain tidak memohon maaf kerana berbohong tentang saya kepada orang ramai," kata Fahmi yang menamatkan keterangannya bagi prosiding hari ini.

Semalam, saman fitnah Fahmi terhadap pengguna Facebook ‘N13 Kuang’, iaitu Mohd Fauzan Madzlan dan Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau ‘Papagomo’, berhubung isu sama telah diselesaikan di Mahkamah Tinggi di sini.

Menurut pernyataan tuntutannya yang difailkan pada 5 Sept 2023, Fahmi mendakwa Ahmad Dusuki telah menerbitkan kenyataan berunsur fitnah apabila menuduhnya menyalahgunakan tempat ibadat iaitu masjid untuk tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah serta perintah Sultan Selangor.

Beliau mendakwa kenyataan berunsur fitnah itu telah dimuat naik oleh Ahmad Dusuki di akaun Facebook dan Instagram defendan pada 31 Julai 2023. 

Menurut Fahmi, kenyataan defendan adalah tidak berasas dan perkara itu telah disokong oleh pengesahan daripada MAIS yang menyebut bahawa beliau tidak menyampaikan sebarang ucapan politik.

Justeru, beliau menuntut ganti rugi dan perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada mengulangi atau menerbitkan semula kenyataan berunsur fitnah itu.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2542140