JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen Tahan 79 Lelaki Bangladesh Dalam Serbuan Di Dua Kilang

08/04/2026 10:39 PM

IPOH, 8 April (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) Perak menahan 79 lelaki warga Bangladesh dalam serbuan di dua kilang menghasilkan sarung tangan getah di Kawasan Perindustrian Kanthan, Chemor dekat sini malam ini.

Serbuan bermula 7 malam itu disertai anggota Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pengarah JIM Perak Datuk James Lee berkata sebanyak 56 individu ditahan di kilang pertama manakala bakinya di kilang kedua, dengan ketika ditahan kesemuanya dalam tempoh peralihan syif waktu bekerja.

“Hasil pemeriksaan, mereka dipercayai menyalahgunakan pas lawatan ke Malaysia termasuk tinggal lebih masa di negara ini.

"Pihak pengurusan kedua-dua kilang yang bernaung di bawah satu syarikat induk itu juga dipercayai mengambil pekerja asing yang didaftarkan bekerja di syarikat atau sektor lain,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan malam ini.

Beliau berkata kesemua yang ditahan akan disiasat lanjut termasuk mengikut Peraturan 39B Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu menyalahgunakan pas, permit atau pas sempadan.

"Di pihak JTK, mereka juga akan siasat dan tentukan kesalahan yang dilakukan di bawah perundangan JTK," katanya.

Menurut James, serbuan terhadap kedua-dua kilang berkenaan hari ini adalah kali kedua selepas diserbu tahun lepas.

"Kita tidak boleh lepaskan mana-mana majikan yang melakukan kesalahan, di samping kesalahan dilakukan oleh warga asing terbabit," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2542679