JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Sarawak Rampas Sisa Elektronik, Pelbagai Peralatan Bernilai RM1.82 Juta

07/04/2026 08:50 PM

KUCHING, 7 April (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak bersama beberapa agensi penguat kuasa menjalankan 10 serbuan menerusi Op Hazard 3.0 di beberapa lokasi sekitar negeri ini semalam dengan rampasan keseluruhan berjumlah RM1.82 juta.

Komander Briged Sarawak SAC Lim Bak Phai berkata operasi itu melibatkan kawasan di bandar raya ini, Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri.

“Dalam operasi itu, 12 individu terdiri daripada 10 warga tempatan dan dua warga asing disyaki menjalankan aktiviti pengumpulan dan pemprosesan sisa elektronik (e-sisa) tanpa mematuhi syarat pelesenan serta peruntukan undang-undang telah ditahan.

“Rampasan melibatkan pelbagai jenis komponen e-sisa seperti wayar dan kabel elektrik, komponen elektronik, bateri terpakai, tayar serta peralatan pemprosesan, selain kenderaan dan kontena dipercayai digunakan bagi kegiatan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi terbabit bertujuan membanteras aktiviti pengurusan e-sisa secara tidak sah yang berpotensi menjejaskan alam sekitar serta keselamatan awam.

Operasi itu melibatkan Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Daerah Sri Aman, Pihak Berkuasa Tempatan Sibu, Lembaga Kemajuan Bintulu serta Majlis Bandaraya Miri.

“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang. Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2542223