JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Rampas Sisa Elektronik, Pelbagai Peralatan Bernilai RM18 Juta

06/04/2026 10:10 PM

GOPENG, 6 April (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta merampas sisa elektronik (e-sisa) dan pelbagai peralatan bernilai kira-kira RM18 juta dalam serbuan ke atas kilang haram yang memproses bahan itu di Kampung Kepayang, di sini awal pagi tadi.

Komander Briged Utara PGA SAC Balveer Singh Mahindar Singh berkata serbuan pada 7 pagi itu dilaksanakan menerusi Ops Hazard Mega 3.0 oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, dan Ketenteraman Awam dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Imigresen Malaysia.

“Siasatan awal mendapati kilang ini menjalankan operasi sebagai sebuah kilang haram yang telah beroperasi kira-kira empat tahun lepas dengan mendapatkan bekalan bahan sisa elektronik yang diperoleh dari luar negara.

“Pelbagai sisa elektronik yang dibawa masuk akan dihancurkan dan diasingkan mengikut kategori bahan logam lain sebelum dihantar ke kilang pelebur berhampiran untuk diproses menjadi bongkah logam,” katanya ketika ditemui pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 26 individu ditahan membabitkan 17 warga Myanmar terdiri daripada 11 lelaki dan enam wanita serta sembilan lelaki warga India masing-masing berusia antara 18 hingga 49 tahun. 

Balveer Singh berkata antara barang yang dirampas melibatkan 225,000 kilogram longgokan e-sisa, 800 jumbo beg sisa elektronik, pelbagai jentera dan mesin memproses bahan berkenaan serta sebuah tangki minyak diesel berisi kira-kira 20,000 liter. 

Dalam pada itu, beliau berkata operasi sama turut menyasarkan 19 premis lain membabitkan tujuh lokasi masing-masing di Kedah dan Pulau Pinang, serta lima lokasi di Perak dengan penglibatan 249 pegawai serta anggota daripada pelbagai agensi yang berkaitan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pencemaran alam sekitar atau kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling dan Akta Imigresen diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

“Kerjasama itu penting bagi memastikan negeri-negeri di utara bebas daripada sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara,” katanya.

Kes ini disiasat megikut Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menjalankan aktiviti tanpa kelulusan pihak berkuasa.

Selain itu, warga asing yang ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen 1963 atas pelbagai kesalahan termasuk tiada permit sah, manakala kes turut disiasat di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana beroperasi tanpa lesen.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541776