KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) --University of London hari ini mengumumkan pelancaran mikrokelayakan pascasiswazah dalam talian baharu untuk pelajar Malaysia, yang menawarkan pembelajaran fleksibel dan boleh disusun untuk menyokong pembelajaran sepanjang hayat tanpa perlu hadir secara fizikal.
Universiti itu menerusi satu kenyataan memaklumkan program tersebut pada masa ini ditawarkan pada harga pengenalan, sekali gus membuka peluang pengajian peringkat pascasiswazah yang lebih mampu milik dari United Kingdom (UK).
“Mikrokelayakan ini yang disampaikan sepenuhnya secara dalam talian melalui Global Digital Campus milik University of London, membolehkan pelajar di Malaysia memulakan pengajian pada bila-bila masa, belajar dari mana-mana sahaja dan mengikut kesesuaian jadual mereka.
“Ini membuka peluang yang lebih luas kepada golongan profesional dan berkerjaya yang perlu mengimbangi komitmen kerja serta peribadi melanjutkan pengajian ke peringkat pascasiswazah,” menurut kenyataan itu.
Program tersebut yang diwujudkan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja yang semakin berkembang, bersifat modular dan mudah alih, membolehkan pelajar mengumpul kredit akademik yang boleh disusun untuk melayakkan mereka mengikuti program pascasiswazah yang diiktiraf atau dipindahkan ke program ijazah University of London daripada program di mana mikrokelayakan itu diperoleh.
Timbalan Naib Canselor University of London, Profesor David Latchman CBE berkata mikrokelayakan dalam talian disediakan bagi membolehkan pelajar menguruskan pendidikan mereka sendiri, sekali gus memberi fleksibiliti untuk mempelajari apa yang perlu, pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada.
“Bagi pelajar di Malaysia, ini bermakna akses kepada pembelajaran pascasiswazah bertaraf dunia dengan bimbingan akademik daripada universiti yang diiktiraf global, termasuk University College London (UCL) dan City St George’s, tanpa kekangan geografi, jadual tetap atau syarat kemasukan tradisional.
“Pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan kami dalam memperluaskan akses kepada pendidikan tinggi di peringkat global,” katanya menerusi kenyataan tersebut.
Menurut universiti itu, sebanyak lapan mikrokelayakan ditawarkan pada ketika ini dengan tiga program memberi fokus kepada pengurusan kewangan di bawah bimbingan akademik UCL, manakala lima lagi tertumpu kepada pengurusan rantaian bekalan global dengan penyeliaan City St George’s.
Setiap mikrokelayakan membawa 15 kredit pascasiswazah, menawarkan laluan kemasukan yang lebih mudah ke pengajian tinggi UK tanpa perlu mengikuti tempoh pengajian yang panjang, berpindah, atau membayar yuran yang tinggi.
Kenyataan itu memaklumkan pelajar boleh memulakan pengajian dengan segera tanpa proses permohonan yang rumit, pengambilan berasaskan kohort, atau kalendar akademik tetap, memberikan lebih fleksibiliti kepada profesional berkerjaya.
“Sistem penilaiannya juga disesuaikan bagi profesional berkerjaya dan pelajar sepanjang hayat, dengan pelaksanaan secara atas permintaan berbanding jadual tetap. Pendekatan ini membolehkan pelajar mengimbangi pengajian dengan tuntutan kerjaya, keluarga dan tanggungjawab lain,” menurut kenyataan itu.
Dengan sejarah yang kukuh di Malaysia, University of London mempunyai lebih 16,000 alumni di negara ini, serta lebih 3,000 pelajar yang sedang mengikuti pengajian secara dalam talian atau melalui Pusat Pengajaran Diiktirafnya.
Pelajar dari lebih 190 negara di seluruh dunia turut mengikuti pengajian di universiti itu mencerminkan kepimpinannya dalam bidang pembelajaran jarak jauh dan digital antarabangsa.
“Bagi pelajar di Malaysia, ini bermakna akses kepada kandungan akademik berasaskan penyelidikan daripada universiti terkemuka dunia, yang disampaikan melalui sebuah platform digital bersepadu,” maklum kenyataan itu.
Program mikrokelayakan itu merupakan fasa pertama dalam visi University of London untuk membuka akses lebih luas kepada pengajian tinggi yang fleksibel dan unggul di peringkat global, termasuk di seluruh Asia Tenggara.
Untuk maklumat lanjut mengenai program mikrokelayakan pascasiswazah yang baru dilancarkan ini, sila layari https://www.london.ac.uk/study/microcredentials.
-- BERNAMA