KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Majlis Media Malaysia (MMM) melaksanakan Fasa Dua Mekanisme Aduan bermula hari ini hingga 30 Sept depan dengan semua aduan perlu dikemukakan melalui borang rasmi MMM.
MMM memaklumkan dalam Fasa 2 itu, majlis tersebut tidak lagi menerima aduan melalui e-mel dan perubahan berkenaan dilaksanakan bagi memastikan setiap aduan direkod, dinilai dan diproses secara lebih sistematik, telus serta berakauntabiliti.
“MMM turut mengekalkan pendekatan interim yang diperkenalkan dalam Fasa 1. Sekiranya pengadu belum mengemukakan aduan secara langsung kepada organisasi media berkaitan, sekretariat akan bertindak sebagai pemudah cara dengan menyalurkan aduan kepada pihak berkenaan untuk tindakan sewajarnya.
“Pendekatan ini selaras dengan prinsip bahawa penyelesaian harus bermula di peringkat organisasi media itu sendiri sebelum campur tangan lanjut,” menurut MMM dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai turut digalakkan untuk menyemak Kod Etika MMM serta garis panduan sebelum menghantar aduan.
Sepanjang Fasa 1 bermula 22 Jan hingga 31 Mac 2026, MMM menerima lima aduan melibatkan isu ketepatan laporan, penggunaan imej tanpa kebenaran, implikasi kandungan terhadap keharmonian sosial, serta pertimbangan etika dalam pelaporan.
“Kesemua aduan telah diselesaikan dalam tempoh tersebut, dengan kadar penyelesaian 100 peratus di peringkat saringan awal, mencerminkan keberkesanan fungsi penapisan dan kejelasan kriteria kelayakan," menurut kenyataan itu.
MMM menegaskan bahawa mekanisme ini bukan bersifat menghukum, sebaliknya bertujuan memperkukuh akauntabiliti, memperbaiki amalan kewartawanan, dan membina kepercayaan awam terhadap media melalui proses yang adil, profesional dan berasaskan prinsip kawal selia kendiri.
Pada 23 Jan lepas, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan mekanisme aduan MMM sebagai satu langkah penting ke arah kawal selia kendiri industri media selaras usaha memastikan laporan berita lebih bertanggungjawab serta mematuhi standard etika yang tinggi.
Beliau berkata pengenalan mekanisme itu menyediakan saluran profesional dan berinstitusi bagi menangani isu berkaitan amalan kewartawanan serta etika media di negara ini.
-- BERNAMA