AM

Krisis Tenaga Global: MPUPK Turun Padang Dapatkan Pandangan PMKS

08/04/2026 03:17 PM

KUANTAN, 8 April (Bernama) -- Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Kebangsaan (MPUPK) mengambil pendekatan proaktif dengan turun padang bagi mendapatkan pandangan terus daripada PMKS berhubung cabaran yang dihadapi susulan krisis tenaga global.

Menteri Besar Pahang yang juga Penasihat Khas MPUPK Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan pengusaha PMKS di wilayah utara, yang menyaksikan pelbagai pandangan serta cadangan dikemukakan.

“Saya telah berjumpa usahawan PMKS untuk berbincang serta mendapatkan maklum balas, ada antara mereka yang memberikan cadangan munasabah, namun terdapat juga perkara yang memerlukan penelitian serta kajian lanjut.

"Cadangan tersebut akan dibawa ke peringkat atasan untuk pertimbangan sebelum keputusan dibuat kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP), di sini, hari ini.  

Dalam pada itu, Wan Rosdy turut menyarankan supaya PMKS mengamalkan langkah berjimat cermat dan cuba mengurangkan kos operasi, termasuk mempertimbang pelaksanaan perniagaan dari rumah bagi mengurangkan beban kewangan.

“Walaupun tidak semua perniagaan sesuai dijalankan dari rumah, pendekatan ini boleh membantu sebahagian pengusaha mengurus kos dengan lebih berkesan,” katanya.

Berhubung cadangan Majlis Belia Pahang yang meminta supaya penstrukturan semula caj TikTok Shop bagi membantu meringankan beban usahawan PMKS yang kini berdepan dengan peningkatan kos operasi, beliau berkata ia merupakan pandangan yang baik dan wajar diteliti.  

Sebelum ini, Presiden Majlis Belia Pahang Saharuddin Ahmad dilaporkan berkata caj platform yang dianggarkan antara 20 hingga 25 peratus ketika ini memberikan tekanan besar kepada margin keuntungan usahawan.

Mengulas mengenai majlis hari ini, Wan Rosdy berkata pihaknya akan menambah baik segala kemudahan yang diberikan kepada pelajar supaya prestasi cemerlang yang direkodkan sehingga Pahang menjadi antara negeri terbaik mencatatkan keputusan SPM dapat dikekalkan setiap tahun. 

Pada majlis itu, sebanyak 66 pelajar MTNP dan MTTNP yang mencatatkan keputusan cemerlang SPM diraikan dan mendapat insentif RM1,000 daripada kerajaan negeri selain menerima RM500 daripada Yayasan Pahang. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2542436