PETALING JAYA, 8 April (Bernama) -- Ketua kontinjen (CDM) negara ke Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun Datuk Mohd Sumali Reduan menyerahkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk memutuskan sama ada memperketat pemilihan atlet ke temasya yang dijadual berlangsung 19 Sept hingga 4 Okt ini.
Beliau berkata keputusan berkenaan juga wajar ditentukan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), mengambil kira kemungkinan peningkatan kos penyertaan kontinjen negara susulan konflik semasa di Asia Barat.
“Kita serahkan kepada MOM, mungkin mereka akan kurangkan atlet dan hanya hantar atlet yang betul-betul boleh memberikan pingat atau peluang besar dapat pingat.
“Tapi buat masa ini saya belum ada maklumat lanjut. Ia bergantung kepada sejauh mana krisis ini memberi kesan kepada ekonomi kita,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) kali pertama (2025-2027) di sini hari ini.
Ditanya sama ada terdapat pelan alternatif sekiranya situasi di Asia Barat berlarutan, Mohd Sumali berkata perkara itu belum dibincangkan secara rasmi.
Walau bagaimanapun, beliau berkata perbincangan ringkas telah diadakan bersama Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengenai impak konflik berkenaan terhadap kontinjen negara ke Sukan Asia 2026.
“Kita tunggu lampu hijau daripada Tan Sri Mohamad Norza sendiri, serta perbincangannya bersama Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari. Sebagai CDM, saya tidak mahu mengeluarkan kenyataan mendahului mereka,” katanya.
-- BERNAMA