KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Satu kebakaran hutan berlaku di kawasan berbukit dengan anggaran keluasan hampir satu hektar di Jalan PUJ 2/24, Taman Puncak Jalil, di sini, malam ini, namun keadaan dilaporkan terkawal.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.27 malam.
Katanya susulan itu, seramai 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan digerakkan ke lokasi dengan bantuan anggota dari BBP Bukit Jalil dan BBP Sri Petaling, sebelum tiba pada 9.40 malam.
“Pihak bomba berjaya mengawal api daripada terus merebak dan kerja pemadaman sedang giat dijalankan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata sebanyak empat jentera digunakan dalam operasi itu, iaitu tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu unit Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).
Ahmad Mukhlis berkata tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden berkenaan.
-- BERNAMA