AM

Sultan Selangor Gembira Usaha Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad

09/04/2026 01:41 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa gembira terhadap usaha murni Khazanah Nasional dalam membangunkan serta memulihara semula Bangunan Sultan Abdul Samad di sini, yang mempunyai nilai sejarah amat besar. 

Menyifatkan bangunan itu sebagai warisan negara yang perlu dimartabatkan, baginda bertitah pernah menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan beberapa bangunan bersejarah Selangor di ibu kota yang dilihat semakin terabai sekitar tahun 2018 dan 2019.

Sultan Sharafuddin bertitah meskipun terdapat perbincangan dan perdebatan berhubung kos kerja pemulihan, baginda khuatir warisan sejarah negeri Selangor yang tidak ternilai itu berisiko untuk hilang dan lenyap sekiranya usaha pemuliharaan tidak dilaksanakan. 

“Beta bimbang akhirnya nanti tiada lagi bukti kewujudan warisan negeri Selangor di Kuala Lumpur untuk tatapan generasi akan datang,” titah baginda sempena lawatan ke Bangunan Sultan Abdul Samad di sini hari ini.

Dibina pada 1894, Sultan Sharafuddin menyifatkan bangunan itu mempunyai nilai sejarah yang besar kerana pernah menjadi pejabat kerajaan baharu negeri Selangor, selain ibu pejabat Persekutuan ketika Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai pusat pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 1896.

Sultan Sharafuddin bertitah bangunan itu siap dibina dalam tempoh dua tahun tujuh bulan dan dirasmikan pada 3 April 1897 semasa pemerintahan nenda baginda, Almarhum Sultan Sir Abdul Samad yang merupakan Sultan Selangor keempat.

“Selama 77 tahun, bangunan ini dikenali sebagai Sekretariat Selangor dan Sekretariat Persekutuan, mencerminkan peranan dwifungsi yang amat penting dalam pentadbiran negara ketika itu,” titah baginda.

Baginda bertitah selepas Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Feb 1974 dengan perkenan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj serta perpindahan ibu negeri Selangor ke Shah Alam, bangunan itu menjadi milik Kerajaan Persekutuan dan dinamakan semula sebagai Bangunan Sultan Abdul Samad.

“Sesungguhnya, peristiwa penyerahan Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan pada ketika itu adalah pengorbanan terbesar ayahanda beta demi pembangunan dan kemajuan Malaysia seluruhnya, dan Bangunan Sultan Abdul Samad ini adalah saksinya,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah bangunan itu mempunyai makna signifikan buat baginda kerana pernah berkhidmat di situ pada 1968 di bawah pentadbiran Menteri Besar Selangor ketika itu, Allahyarham Datuk Seri Harun Idris sebelum ditempatkan di Pejabat Tanah Kuala Lumpur di bangunan Old Chartered Bank.

Sultan Sharafuddin bertitah di bangunan itu baginda mempelajari selok-belok pentadbiran negeri, selain mengakui mengagumi kepimpinan Harun.

“Beta masih ingat Beta pernah merasmikan istiadat pembukaan (mesyuarat) Dewan Undangan Negeri (DUN) di bangunan ini. Semua kenangan ini menambahkan lagi rasa dekat dan penghargaan Beta terhadap nilai sejarah dan simbolisme Bangunan Sultan Abdul Samad kepada Selangor dan negara,” titah baginda.

Baginda bertitah kini selepas melalui proses pemuliharaan yang rapi, bangunan berkenaan dihidupkan semula sebagai ruang awam dan dibuka kepada pengunjung buat pertama kali pada 2 Feb 2026, satu detik bersejarah yang amat membanggakan. 

Sultan Selangor menzahirkan harapan usaha pemuliharaan sedemikian terus diperkasa, bukan sahaja bagi Bangunan Sultan Abdul Samad malah untuk semua tapak warisan lain di Kuala Lumpur yang mempunyai kaitan dengan sejarah negeri Selangor.

"Warisan sejarah bukan sekadar tinggalan masa lalu tetapi merupakan asas jati diri bangsa dan negara yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang. 

"Semoga Bangunan Sultan Abdul Samad akan terus berdiri megah sebagai simbol sejarah, warisan dan kebanggaan negara," titah Sultan Sharafuddin.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2542777