KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) hari ini mengumumkan pelantikan pelumba profesional negara Jazeman Jaafar sebagai Bendahari persatuan yang baharu, berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan MAM, pelantikan itu bagi menggantikan penyandang Datuk Razlan Razali, yang disifatkan sebagai langkah strategik dalam memperkukuh struktur kepimpinan organisasi dengan menggabungkan kepakaran profesional serta pengalaman luas dalam industri sukan permotoran.
“Jazeman Jaafar merupakan antara pelumba kereta profesional Malaysia yang telah mencipta nama di peringkat antarabangsa, khususnya dalam perlumbaan ketahanan (endurance).
“Sepanjang kerjayanya, beliau telah mencatat pelbagai pencapaian membanggakan, antaranya meraih podium di Monaco pada 2015 dalam Formula Renault 3.5,” menurut kenyataan itu.
MAM memaklumkan pengalaman luas serta pendedahan di arena antarabangsa Jazeman, diyakini mampu menyumbang secara signifikan dalam memperkukuh pengurusan kewangan MAM, di samping memperkasakan hala tuju strategik organisasi ke arah lebih progresif dan mampan.
“Pelantikan ini turut mencerminkan komitmen berterusan MAM dalam memperkukuh barisan kepimpinan dengan gabungan pengalaman industri serta perspektif baharu, selaras dengan usaha memajukan sukan permotoran di Malaysia ke tahap lebih tinggi,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA