EKONOMI

Bank Dunia Naikkan Unjuran Pertumbuhan 2026 Malaysia Kepada 4.4 Peratus

09/04/2026 03:11 PM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Kumpulan Bank Dunia menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk 2026 kepada 4.4 peratus daripada 4.1 peratus berdasarkan permintaan domestik yang berdaya tahan, kata Ketua Ahli Ekonominya bagi Malaysia Dr Apurva Sanghi.

Beliau berkata pertumbuhan akan didorong terutamanya oleh penggunaan swasta, disokong oleh keadaan pasaran tenaga kerja yang menggalakkan, kenaikan gaji dan langkah-langkah sokongan pendapatan oleh kerajaan.

“Kami menjangka permintaan domestik akan kukuh tahun ini berikutan dinamik pasaran tenaga kerja yang menggalakkan, dengan gaji median sebenar meningkat sebanyak enam peratus tahun lepas serta sokongan kerajaan yang berterusan apabila diperlukan.

“Oleh itu, penggunaan swasta adalah penyumbang utama kepada pertumbuhan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian pada taklimat mengenai Bahagian 1 Pemantauan Ekonomi Malaysia (MEM) April 2026 Bank Dunia, bertajuk 'Menaikkan Siling, Menaikkan Lantai, Memacu Agenda Pekerjaan dan Produktiviti Malaysia’ di sini.

Tahun lepas, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus didorong oleh permintaan domestik yang kukuh dan eksport yang menggalakkan.

Apurva berkata unjuran untuk tahun ini adalah melebihi pertumbuhan serantau sebanyak 4.2 peratus, dengan prospek turut dipengaruhi oleh tiga faktor luaran, iaitu konflik Asia Barat, tarif Amerika Syarikat (AS) dan perubahan hala tuju China.

Mengenai konflik Asia Barat, katanya krisis yang berterusan dijangka meningkatkan ketidaktentuan ekonomi global, dengan impaknya masih sukar untuk dijangka berikutan situasi yang sentiasa berubah.

“Harga minyak mentah yang turun naik, meningkat hampir 40 peratus antara Februari dan Mac. Harga baja berasaskan nitrogen hampir dua kali ganda dalam tempoh yang sama. Harga penghantaran LNG ke Asia naik hampir dua pertiga.

“Walaupun konflik berakhir esok, ia masih memerlukan masa untuk tenaga, makanan dan rantaian bekalan untuk pulih atau kembali beroperasi seperti biasa.

“Oleh itu, risiko penurunan terhadap unjuran 4.4 peratus bagi tahun 2026 adalah besar dan ini merupakan situasi yang sentiasa berubah. Justeru, kita perlu tunggu dan lihat situasi tersebut,” katanya.

Mengenai tarif AS, katanya pada masa ini, kira-kira 46 peratus daripada eksport Malaysia dikecualikan daripada tarif, sebahagian besarnya disebabkan segmen elektrik dan elektronik (E&E) serta jentera yang kukuh tetapi pengecualian ini boleh ditarik balik dalam masa yang singkat.

Justeru, Apurva berkata ini mewujudkan risiko yang ketara kepada Malaysia berdasarkan kebergantungannya yang tinggi terhadap sektor E&E, yang menyumbang hampir 30 peratus daripada nilai tambah domestik negara — tertinggi di ASEAN — menyebabkannya lebih terdedah berbanding rakan serantaunya kepada perubahan dasar perdagangan AS.

“Kesimpulannya ialah Malaysia tidak boleh bergantung pada perbezaan tarif semata-mata untuk meningkatkan daya saing. Negara perlu menggalakkan lebih banyak inovasi,” katanya.

Mengenai perubahan hala tuju China, katanya hala tuju eksport negara itu ke pasaran ketiga menjadi faktor lain yang membentuk landskap ekonomi serantau, didorong oleh permintaan domestik yang lemah dan kapasiti perindustrian yang berkembang membawa kepada lebihan sektor pembuatan yang meningkat.

“Satu tinjauan menunjukkan bahawa 75 peratus daripada pengeksport China berhasrat untuk mengimbangi penurunan eksport ke AS dengan berkembang ke pasaran ketiga seperti Malaysia,” katanya, sambil menambah Malaysia mencatatkan peningkatan eksport keempat terbesar dari China dalam kalangan negara ASEAN.

Bagaimanapun, berbanding negara serantau, pendedahan Malaysia dilihat lebih sederhana, dengan negara-negara seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia berdepan impak lebih besar daripada peralihan eksport China.

Beliau berkata import Malaysia dari China bukan sahaja merangkumi barangan penggunaan, malah barangan perantaraan dan modal yang menyokong pengeluaran domestik.

Oleh itu, katanya struktur yang seimbang adalah menggalakkan berikutan aliran masuk yang didominasi oleh barangan pengguna kos rendah sebaliknya boleh membawa risiko yang lebih besar kepada sektor pembuatan tempatan.

Secara keseluruhan, katanya kebimbangan mengenai kemasukan barangan China perlu dinilai dengan teliti, dengan penggubal dasar digalakkan menerima pakai langkah bersasar berbanding sekatan terhadap perdagangan dua hala.

-- BERNAMA 

KEYWORDS
    
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2542893