Oleh Ahmad Erwan Othman
KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Persetujuan gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran tidak bermakna tekanan terhadap rantaian bekalan minyak dan gas global akan pulih serta-merta.
Ini memandangkan kerosakan teruk yang dialami infrastruktur tenaga di rantau Asia Barat memerlukan beberapa tahun untuk kembali pulih seperti sediakala.
Pemerhati dan penganalisis geopolitik berpendapat keadaan itu sekali gus meletakkan aspek kestabilan tenaga global berdepan dengan fasa ketidaktentuan yang panjang, sekali gus mengekalkan premium risiko yang tinggi terhadap harga minyak dunia untuk suatu tempoh yang lama.
Pakar perang saraf, penganalisis keselamatan dan politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata walaupun diplomasi dilihat masih relevan melalui rundingan itu, namun tindakan membelakangi undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menggugat kedaulatan negara lain serta kestabilan pasaran.
"Isu asas di sini adalah penggunaan strategi peperangan termasuk menjadikan laluan strategik seperti Selat Hormuz sebagai 'senjata' diplomasi dan ekonomi. Implikasi gangguan di laluan utama ini telah membuktikan betapa rapuhnya sistem pengagihan tenaga minyak dan gas asli ke rantau ASEAN dan Asia mahupun Eropah," katanya kepada Bernama hari ini.
Terdahulu awal hari ini, menurut laporan Anadolu Ajansi yang memetik rangkaian penyiaran rasmi Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB), kepimpinan tertinggi Iran mengesahkan pentadbiran Presiden AS Donald Trump bersetuju menerima cadangan 10 perkara yang dikemukakan republik itu bagi melaksanakan rundingan antara kedua-dua negara untuk menamatkan peperangan.
Menurut Majlis Keselamatan Kebangsaan Tertinggi Iran,cadangan berkenaan akan dijadikan kerangka rasmi rundingan bagi memuktamadkan perjanjian yang lebih menyeluruh, meskipun perincian pelan berkenaan tidak didedahkan secara rasmi kepada umum.
IRIB memaklumkan cadangan itu merangkumi beberapa tuntutan utama termasuk jaminan untuk tidak menyerang Iran, mengekalkan kawalan Iran terhadap Selat Hormuz, mengiktiraf hak Tehran dalam pengayaan uranium selain memansuhkan semua sekatan utama dan sekunder AS.
Mengulas lanjut, Noor Nirwandy berkata kerosakan fizikal yang dialami infrastruktur gas dan minyak di zon konflik itu memerlukan pelaburan modal yang besar untuk dibaik pulih, sekali gus menyebabkan penawaran tidak dapat memenuhi permintaan segera.
Oleh itu beliau menyeru negara-negara serantau, khususnya ASEAN, untuk lebih berwaspada dan merangka strategi kolektif bagi melindungi aset berkepentingan strategik daripada tekanan kuasa besar.
"Kita memerlukan satu bentuk 'Pertahanan Kolektif' dan kerjasama strategik serantau yang lebih utuh bagi menyerap tekanan luaran.
“ASEAN perlu mengekalkan prinsip 'ASEAN Centrality' (Kepusatan ASEAN) dan zon aman serta bebas bagi memastikan kedaulatan ekonomi kita tidak terus menjadi mangsa kepada percaturan geopolitik unilateral," katanya.
Dalam pada itu, ketua kumpulan penyelidikan Fakulti Pusat Pengajian Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mustazar Mansur turut berpandangan yang sama dengan berkata walaupun konflik bersenjata antara Tehran dan Washington berakhir, penyelarasan harga minyak dan gas ke paras sebelum peperangan akan mengambil masa.
Beliau berkata hal ini kerana dalam sistem ekonomi, lebih sukar untuk menurunkan harga berbanding menaikkannya kerana syarikat cenderung memindahkan kos tambahan ke dalam bentuk surcaj penghantaran.
"Kenaikan harga minyak berpotensi beri tekanan kepada inflasi, khususnya melalui kos logistik dan makanan," katanya yang juga merupakan timbalan pengarah eksekutif (pengurusan fasiliti dan digital), Pusat Pengurusan Penjanaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sementara itu, penganalisis ekonomi daripada Putra Business School Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata pasaran akan terus mengambil kira 'premium risiko' selagi ketidakpastian mengenai sekatan ekonomi dan konflik proksi belum diselesaikan sepenuhnya.
Menyifatkan situasi ini lebih kepada "langkah sementara" berbanding penyelesaian muktamad, beliau berkata indikator seperti kos insurans perkapalan dan kadar sewaan kapal tangki yang tinggi, spread harga yang melebar serta ketidakpastian pematuhan kuota oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) akan terus mencerminkan kestabilan sebenar pasaran.
"Jika kerosakan infrastruktur mengambil masa lama untuk dibaiki, harga mungkin kekal tinggi untuk beberapa suku tahun akibat 'harga lantai' baharu yang dipacu risiko geopolitik. Kesan gangguan bekalan akan menekan inflasi global melalui kos pengangkutan, tenaga industri dan harga makanan, sekali gus meningkatkan kos sara hidup.
"Sektor paling terkesan termasuk penerbangan, logistik, petrokimia dan pembuatan berintensif tenaga, dan pengguna mungkin terus merasai kesannya walaupun konflik berakhir kerana harga tidak begitu anjal," katanya.
Ahmed Razman berkata gangguan di Selat Hormuz mencetuskan lonjakan harga mendadak, peningkatan kos insurans dan tekanan rantaian bekalan khususnya kepada negara pengimport utama Asia memandangkan ia merupakan laluan penting kepada kira-kira 20 peratus perdagangan minyak global.
"Dalam jangka sederhana, ia boleh mengubah keseimbangan kuasa dengan meningkatkan leverage negara pengeluar tertentu, mempercepat kepelbagaian sumber bekalan serta menjadikan keselamatan tenaga komponen utama strategi geopolitik kuasa besar," katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Datuk Dr A.T. Kumararajah berkata jika harga minyak kekal melebihi USD100 setong lebih empat bulan, perbelanjaan mengurus kerajaan berpotensi meningkat sekitar 10 peratus, yang boleh mengurangkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 1.5 mata peratusan.
"Sektor paling terkesan termasuk logistik, penerbangan, pembinaan, dan pembuatan yang sangat bergantung kepada tenaga. Pengguna akan terus merasai beban kerana harga makanan dan tambang biasanya turun dengan lebih perlahan berbanding kadar kenaikannya," katanya.
Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) sebelum ini mengesahkan lebih 40 aset tenaga di rantau Asia Barat membabitkan sembilan negara mengalami kerosakan serius akibat konflik AS-Iran dengan memberi contoh kerosakan fasiliti eksport gas di Qatar dianggarkan mengambil masa sehingga lima tahun untuk pulih.
-- BERNAMA