ISTANBUL, 8 April (Bernama-Anadolu) -- Menteri Pengangkutan Oman berkata pada Rabu, tiada bayaran boleh dikenakan ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz di bawah perjanjian antarabangsa yang ditandatangani oleh Muscat, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media tempatan.
Menteri Pengangkutan Said Al-Maawali membuat kenyataan itu semasa sesi Majlis Syura sebagai menjawab soalan mengenai kemungkinan caj transit.
“Pendirian Oman mengenai Selat Hormuz adalah jelas. Kami menandatangani semua perjanjian pengangkutan maritim antarabangsa,” kata Al-Maawali dalam kenyataannya yang disiarkan oleh radio Al Wisal Oman.
“Selat ini adalah laluan semula jadi yang tidak diwujudkan oleh campur tangan manusia dan oleh itu tiada bayaran boleh dikenakan di bawah perjanjian antarabangsa yang ditandatangani oleh kesultanan,” katanya.
Kenyataan itu dibuat selepas laporan media memetik sumber Iran yang tidak dinamakan sebagai berkata yang Tehran mencadangkan untuk mengenakan bayaran ke atas kapal yang melalui selat itu sebagai sebahagian usaha menamatkan perang.
Selat Hormuz, laluan air sempit kira-kira 34 kilometer lebar antara Iran dan Oman, menghubungkan Teluk dengan Lautan Hindi dan membawa kira-kira 20 peratus penghantaran minyak global.
Al-Maawali berkata Kementerian Luar Oman sedang membincangkan isu itu dan menyatakan harapan agar hasilnya memberi manfaat kepada negara serantau serta komuniti antarabangsa.
Beliau berkata beberapa negara, termasuk Iran dan Amerika Syarikat (AS), tidak menandatangani perjanjian berkaitan, mewujudkan apa yang disifatkannya sebagai “jurang perundangan.”
Oman sebelum ini memaklumkan yang ia mengadakan rundingan dengan Iran di peringkat timbalan menteri luar bagi meneroka pilihan untuk memastikan pelayaran lancar melalui selat itu.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa mengumumkan yang beliau bersetuju “untuk menggantung pengeboman dan serangan ke atas Iran selama tempoh dua minggu.”
Pengumuman itu dibuat kurang daripada dua jam sebelum tarikh akhir yang ditetapkan oleh Trump kepada Iran untuk membuka semula Selat Hormuz dan menerima perjanjian atau berdepan dengan apa yang disifatkannya sebagai kemusnahan “seluruh tamadun.”
Ketegangan serantau meningkat sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Februari, yang meragut nyawa lebih 1,400 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Iran pula bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS. Ia juga telah mengehadkan pergerakan kapal melalui Selat Hormuz.
-- BERNAMA-ANADOLU