JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen Tahan 69 Warga Asing Termasuk GRO Di Pusat Hiburan Jalan Imbi

09/04/2026 09:57 AM

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 69 warga asing, dengan sebahagian besarnya dikesan bekerja sebagai gadis pelayan (GRO) dalam serbuan Ops Gegar di sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi, di sini awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen Datuk Lokman Effendi Ramli berkata sebanyak 198 individu telah diperiksa dan kesemua warga asing yang ditahan itu kebanyakannya terdiri daripada warga Thailand, Vietnam dan China.

"Kesalahan paling kerap dilakukan adalah menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja (termasuk sebagai GRO) dan warga asing yang datang menggunakan pas ini sudah tentu tidak mempunyai permit sah untuk bekerja di sini.

"Tindakan tegas juga akan diambil terhadap majikan sekiranya mereka didapati bersalah menggaji warga asing ini dan majikan berkenaan akan turut didakwa," katanya pada sidang media selepas tamat operasi tersebut awal pagi ini.

Dalam serbuan bermula sekitar 12 tengah malam itu, segelintir warga asing cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa dengan memanjat tangga dan bersembunyi di atas bumbung premis, namun cubaan itu berjaya dipatahkan.

Lokman Effendi berkata operasi membanteras aktiviti tidak bermoral itu melibatkan kekuatan 89 pegawai Imigresen.

Operasi itu turut disertai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam operasi tersebut, pihak JKDM turut merampas beberapa botol minuman keras yang dipercayai cuba mengelak daripada cukai.

Sementara itu, Lokman Effendi memaklumkan bermula Januari hingga 7 April lepas, JIM telah melaksanakan 106 Ops Gegar di seluruh negara.

"Sepanjang tempoh tersebut, lebih 1,800 orang telah diperiksa dengan 670 warga asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan dengan tiga negara penyumbang tertinggi kepada jumlah tangkapan ini ialah Thailand, China dan Vietnam yang merekodkan lebih 400 tangkapan," katanya.

Beliau berkata kesemua 69 warga asing yang ditahan awal pagi tadi dibawa ke Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

KEYWORDS
       
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2542702