WASHINGTON, 9 April (Bernama-Xinhua) -- Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karoline Leavitt pada Rabu berkata Washington sedang mengusahakan pelan damai yang disemak semula menjelang rundingan tertutup yang bakal bermula tidak lama lagi di Islamabad, lapor Xinhua.
Leavitt berkata pada sesi taklimat media di Rumah Putih bahawa “garis merah Presiden, khususnya penamatan pengayaan uranium di Iran tidak berubah.”
Beliau mendakwa kesediaan AS untuk mengadakan rundingan bergantung pada pembukaan semula laluan perairan global yang penting itu “tanpa sebarang sekatan atau kelewatan.”
Iran menggantung trafik perkapalan melalui Selat Hormuz susulan serangan Israel ke atas Lubnan, menurut laporan awal agensi berita Fars pada Rabu.
“Lubnan bukan sebahagian daripada gencatan senjata itu.
"Perkara itu telah dimaklumkan kepada semua pihak yang terlibat dalam gencatan senjata berkenaan.
“Perkara ini pasti akan terus dibincangkan antara presiden dan Perdana Menteri Netanyahu, antara Amerika Syarikat dan Israel, serta semua pihak yang terlibat,” kata beliau.
Menteri Luar Iran Seyed Abbas Araghchi pada Rabu berkata Amerika Syarikat mesti memilih sama ada untuk menegakkan gencatan senjata atau meneruskan apa yang beliau sifatkan sebagai “perang berterusan melalui Israel,” merujuk kepada tindakan Israel yang terus melancarkan serangan ke atas Lubnan.
“Terma gencatan senjata Iran-AS adalah jelas dan tegas: AS mesti memilih - gencatan senjata atau perang berterusan melalui Israel. Ia tidak boleh memilih kedua-duanya.
“Kini semuanya bergantung kepada AS, dan dunia sedang memerhati sama ada ia akan bertindak selaras dengan komitmennya,” kata Araghchi di platform X.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran memberi amaran bahawa ia akan bertindak balas jika “pencerobohan” terhadap Lubnan tidak dihentikan serta-merta, menurut laporan penyiar negara itu, IRIB, pada Rabu.
Pesawat pejuang Israel melancarkan beberapa siri serangan udara di seluruh Lubnan pada Rabu, mengorbankan sekurang-kurangnya 87 orang dan mencederakan 722 yang lain, kata pegawai.
-- BERNAMA-XINHUA