TEHRAN, 9 April (Bernama-dpa) -- Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengeluarkan amaran mengenai periuk api laut iaitu bahan letupan yang diletakkan di dalam air untuk merosakkan atau menenggelamkan kapal di Selat Hormuz, sekali gus merumitkan usaha untuk membuka semula laluan perairan itu susulan gencatan senjata antara Tehran dan Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Lewat Rabu, tentera laut pasukan itu menerbitkan peta yang menunjukkan zon bahaya dalam laluan perkapalan biasa di selat itu.
Berikutan situasi konflik di Teluk, semua kapal dinasihatkan menggunakan laluan alternatif lebih ke utara bagi mengelakkan “kemungkinan pelanggaran dengan periuk api laut.”
Laluan baharu yang disyorkan IRGC adalah melalui kawasan berhampiran Pulau Larak, tidak jauh dari pantai selatan Iran.
Selat Hormuz dianggap antara laluan perkapalan paling penting di dunia, khususnya bagi pengangkutan minyak dan gas dari negara Teluk.
Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), pada 2023, hampir 30 peratus minyak laut dunia dihantar melalui Selat Hormuz.
Sejak konflik bermula, tentera laut Iran secara berkesan menyekat laluan air selebar 55 kilometer itu melalui ancaman dan serangan ke atas kapal tangki serta kapal kargo, sekali gus meningkatkan harga tenaga.
Presiden AS Donald Trump, menjadikan pembukaan Selat Hormuz sebagai syarat bagi gencatan senjata selama dua minggu.
Menurut laporan, Iran menuntut bayaran tol daripada syarikat perkapalan untuk menggunakan laluan berhampiran pantai Iran.
Sejak gencatan senjata bermula pada Rabu malam, laporan media dan penganalisis data menunjukkan hanya beberapa kapal sahaja yang melalui selat itu.
-- BERNAMA-XINHUA