ISTANBUL, 11 April (Bernama-Anadolu) -- Delegasi Iran mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif di Islamabad pada Sabtu, yang menurut penyiar awam IRIB, dijangka menyentuh mengenai dakwaan pelanggaran komitmen gencatan senjata oleh pihak Amerika Syarikat (AS).
Anadolu Ajansi yang memetik koresponden IRIB di ibu negara Pakistan melaporkan bahawa pertemuan antara delegasi Iran dan Sharif bermula pada pukul 1.30 tengah hari waktu tempatan (0830 GMT).
Dalam rundingan itu, Iran juga dijangka membincangkan cadangan 10 perkara yang menurutnya menjadi rangka kerja bagi rundingan berterusan untuk menamatkan secara kekal peperangan yang bermula pada 28 Februari lalu.
Speaker Parlimen Iran Bagher Ghalibaf bersama pasukannya, termasuk Menteri Luar Abbas Araghchi dan Timbalan Majlis Keselamatan Kebangsaan Ali Bagheri Kani, tiba di Islamabad awal Sabtu.
Sementara itu, delegasi AS diketuai oleh Naib Presiden JD Vance dan turut disertai Utusan Khas Steve Witkoff serta menantu Presiden Donald Trump, Jared Kushner.
Pakistan menjadi tuan rumah kepada rundingan bersejarah itu yang dikenali sebagai "Rundingan Islamabad" – yang paling signifikan sejak 1979 – bagi menamatkan konflik Asia Barat di tengah-tengah gencatan senjata dua minggu yang rapuh. Gencatan senjata itu diusahakan oleh Pakistan awal minggu ini.
Ghalibaf sebelum ini menyatakan bahawa serangan ke atas Lubnan, pencerobohan dron ke dalam ruang udara Iran, dan penafian hak Republik Islam itu untuk memperkayakan uranium merupakan pelanggaran kepada syarat gencatan senjata berkenaan.
-- BERNAMA-ANADOLU