KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Apex Securities Bhd mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 pada 4.7 peratus tahun ke tahun, sejajar dengan julat unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) antara 4.0 hingga 5.0 peratus.
Firma penyelidikan itu berkata julat pertumbuhan lebih luas yang digariskan BNM mencerminkan momentum kukuh yang dibawa daripada separuh kedua 2025.
Sementara itu, BNM berpandangan sekiranya tiada gangguan geopolitik yang meruncing, pertumbuhan asas berpotensi melepasi had atas julat unjuran semasa.
“Pertumbuhan ini disokong oleh permintaan berterusan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) seiring kitaran peningkatan kecerdasan buatan (AI) global, pelaburan kukuh dipacu peluasan pusat data yang berterusan serta sokongan dasar berterusan terhadap penggunaan domestik,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Apex Securities turut menjangkakan anggaran awal KDNK suku pertama 2026 yang akan diumumkan pada 17 April 2026 akan memberikan gambaran lebih jelas mengenai sejauh mana kesan limpahan konflik terhadap ekonomi domestik.
Konflik yang berpanjangan berkemungkinan memerlukan semakan semula terhadap unjuran semasa, katanya.
Bagaimanapun, firma itu mengingatkan mengenai peningkatan risiko penurunan terhadap unjuran pertumbuhan, berpunca daripada konflik berterusan di Asia Barat.
Ini kerana, katanya meskipun perdagangan langsung Malaysia ke rantau itu adalah terhad, penutupan Selat Hormuz telah mengganggu rantaian bekalan global.
Dalam pada itu, Apex Securities berkata Indeks Pengurus Pembelian (IPP) pembuatan Malaysia bagi Mac menunjukkan tempoh penghantaran input yang lebih panjang, sekali gus menyebabkan penyusutan inventori prapengeluaran dan barangan siap.
“Selain itu, pengilang melaporkan peningkatan ketara dalam kos pengangkutan, tenaga dan input, mencerminkan gangguan bekalan yang semakin ketara serta tekanan kos yang meningkat,” katanya.
Sehubungan itu, firma berkenaan turut mengekalkan unjuran pertumbuhan sektor pembuatan 2026 pada 4.5 peratus tahun ke tahun (2025: 4.5 peratus).
-- BERNAMA