IPOH, 10 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menumpaskan satu kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan merampas 5,070 liter cecair itu dalam satu serbuan di Kampung Raja Hitam dekat Ayer Tawar, malam tadi.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata operasi bersepadu yang dijalankan kira-kira 12.30 tengah malam itu melibatkan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Manjung bersama Pasukan Polis Marin di bawah Ops Tiris 4.0 dan Ops Jeriji, hasil risikan yang dijalankan sejak beberapa hari lepas.
Beliau berkata premis perniagaan kayu dan perkakasan yang diserbu dipercayai dijadikan lokasi transit untuk mengumpul bekalan diesel secara tidak sah sebelum diagihkan semula kepada pasaran industri.
"Ketika serbuan dilakukan, seorang lelaki tempatan dikesan sedang memindahkan cecair disyaki diesel dari sebuah lori tiga tan ke dalam tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC).
"Pemeriksaan lanjut mendapati lori berkenaan telah diubah suai dengan pemasangan tangki fiber tambahan di bahagian belakang bagi membolehkan pengangkutan diesel dalam kapasiti lebih besar tanpa kebenaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamalludin berkata hasil semakan ke atas dokumen yang ditemukan mendapati terdapat lapan invois pembelian yang menunjukkan suspek melakukan pembelian berulang di sebuah stesen minyak di Sitiawan bagi mengumpul bekalan dalam kuantiti besar secara berperingkat.
"Bekalan diesel yang dikumpulkan itu dipercayai disimpan di lokasi berkenaan sebelum dijual semula kepada pihak industri bagi mengaut keuntungan, sekali gus menyalahi peraturan kawalan barang bersubsidi.
"KPDN Perak turut menyita pelbagai peralatan yang digunakan dalam kegiatan berkenaan termasuk sebuah lori tiga tan, satu skid tank, dua tangki IBC, dua unit pam elektrik, satu tangki fiber dan empat unit hos dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM56,371.40," katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, yang memperuntukkan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan.
"Siasatan turut akan diperluas terhadap stesen minyak yang disyaki terlibat dalam pembekalan diesel kepada suspek, termasuk kemungkinan tindakan pembatalan lesen sekiranya didapati bersalah," katanya.
-- BERNAMA