AM

Kerajaan Galak Rakyat Beralih Ke Skim Time Of Use, Bantu Jimat Bil Elektrik - PETRA

10/04/2026 12:16 PM

PUTRAJAYA, 10 April (Bernama) -- Kerajaan menggalakkan rakyat beralih kepada skim Time of Use (ToU) sebagai langkah praktikal untuk menjimatkan bil elektrik serta memperkukuh kecekapan penggunaan tenaga negara dalam menghadapi ketidaktentuan harga tenaga global.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 128,868 pengguna telah beralih kepada skim ToU sehingga Februari lepas, sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran rakyat terhadap kepentingan pengurusan tenaga yang lebih efisien.

PETRA memaklumkan pendekatan penggunaan tenaga secara lebih bijak melalui skim berkenaan memberi peluang kepada pengguna menikmati kadar tarif elektrik lebih rendah pada waktu luar puncak berbanding waktu puncak, sekali gus membantu penjimatan melalui perubahan corak penggunaan harian.

Menurut PETRA, di bawah skim ToU waktu puncak lazimnya melibatkan tempoh permintaan elektrik tinggi pada hari bekerja, iaitu antara 2 petang hingga 10 malam, dengan kadar tarif lebih tinggi.

Waktu luar puncak merangkumi tempoh permintaan elektrik lebih rendah seperti waktu malam hingga pagi, hujung minggu dan cuti umum, yang menawarkan kadar tarif lebih rendah kepada pengguna.

"Perbezaan kadar ini memberi insentif kepada pengguna untuk merancang penggunaan elektrik secara lebih efisien," menurut kenyataan itu.

PETRA menjelaskan bahawa melalui skim ToU, pengguna boleh mengalihkan aktiviti berintensiti tenaga seperti penggunaan penyaman udara, mesin basuh, pemanas air serta pengecasan kenderaan elektrik ke waktu luar puncak bagi memaksimumkan penjimatan.

"Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan bil elektrik, malah menyumbang kepada penggunaan tenaga yang lebih cekap dan mampan," kata kenyataan itu.

PETRA memaklumkan kerajaan melihat skim ToU sebagai antara inisiatif penting dalam membantu rakyat mengawal dan mengurangkan perbelanjaan bil elektrik, menggalakkan penggunaan tenaga secara lebih cekap serta mengurangkan beban permintaan elektrik semasa waktu puncak.

Justeru, PETRA memaklumkan usaha memperluas penggunaan skim berkenaan akan terus dipergiat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, kemampanan sumber dan kecekapan tadbir urus.

"Penggunaan tenaga secara berhemah bukan sahaja membantu mengurangkan kos sara hidup, malah menyumbang kepada kemampanan alam sekitar dan pembangunan negara yang lebih seimbang untuk generasi masa hadapan," menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2543244