AM

Anwar Ucap Takziah Atas Pemergian Bekas Menteri Luar Iran Dr Kamal Kharazi

10/04/2026 03:18 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian bekas Menteri Luar Iran Dr Kamal Kharazi, sambil menyifatkannya sebagai tokoh yang berintelektual tinggi serta memiliki keperibadian yang tulus, sentiasa bertimbang rasa dan pemurah.

Beliau berkata kematian Kharazi yang tidak diduga itu berpunca daripada kecederaan akibat serangan pengganas Zionis.

"Saya mula mengenali Dr Kharazi ketika beliau berkhidmat sebagai wakil Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York dan persahabatan kami berterusan sepanjang tempoh beliau memegang jawatan sebagai Menteri Luar.

"Dunia telah kehilangan seorang diplomat luar biasa dan saya kehilangan sahabat karib. Ucapan takziah daripada saya kepada keluarganya serta rakyat Iran," kata beliau menerusi hantaran Facebook.

Perdana Menteri berkata pemergian Kharazi itu menjadi peringatan tentang kesan buruk konflik dan menegaskan bahawa peperangan mesti dihentikan.

Kharazi, 81, yang merupakan Ketua Majlis Strategik bagi Hubungan Antarabangsa di bawah Kementerian Luar, meninggal dunia pada Khamis akibat kecederaan yang dialami dalam serangan Amerika Syarikat–Israel pada 1 April lepas.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2543284