AM

Kementerian Perpaduan Lancar Buku Panduan Mediasi Komuniti, Rujukan Penyelesaian Konflik

10/04/2026 03:05 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara melancarkan Handbook Kes-Kes Mediasi Komuniti terbitan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) sebagai panduan komprehensif kepada mediator komuniti di seluruh negara, semalam. 

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata penerbitan buku panduan bertemakan "Mediator Komuniti Pemangkin Keharmonian Negara" itu selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh perpaduan nasional melalui pendekatan penyelesaian konflik secara harmoni, inklusif dan berkesan pada peringkat akar umbi. 

“Buku ini menghimpunkan kompilasi kes sebenar yang boleh dijadikan rujukan praktikal bagi 595  mediator komuniti yang berkhidmat di seluruh negara.

Handbook ini turut berfungsi sebagai panduan dalam mengendalikan pelbagai konflik komuniti secara profesional tanpa perlu memanjangkan pertikaian ke saluran perundangan yang kompleks, sekali gus menggalakkan penyelesaian secara muafakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara kandungan utama buku itu termasuklah sembilan kluster kes konflik komuniti merangkumi isu kejiranan, hubungan kekeluargaan, harta milik bersama, keagamaan, tanah, alam sekitar, perjanjian dan kontrak, ubah suai bangunan serta keselamatan. 

Penerbitan itu turut mengandungi sembilan teras etika mediator yang menekankan nilai amanah, integriti, profesionalisme serta kerahsiaan, selain lima langkah proses mediasi yang menjadi kerangka penyelesaian konflik secara sistematik.

Aaron berkata inisiatif itu diyakini mampu memperkukuh peranan Malaysia sebagai rujukan serantau dan penanda aras dalam bidang mediasi komuniti pada peringkat ASEAN, sekali gus meletakkan negara di barisan hadapan dalam memperkenalkan pendekatan penyelesaian konflik yang progresif, berkesan dan berteraskan nilai keharmonian sejagat.

“Kementerian yakin bahawa penerbitan handbook ini akan memberikan impak yang signifikan kepada masyarakat. Dengan adanya rujukan yang tersusun dan praktikal, konflik dalam komuniti dapat diurus dengan lebih cekap dan berkesan.

“Usaha ini secara tidak langsung akan menyemai nilai toleransi, meningkatkan persefahaman, serta memperkukuh keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Perpaduan Negara akan terus komited memperkasakan peranan mediator komuniti sebagai ejen perdamaian, seterusnya memastikan perpaduan negara sentiasa terpelihara dan diperkukuh.

-- BERNAMA


 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2543332