GEORGE TOWN, 10 April (Bernama) -- Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR) merancang menganjurkan 110 kursus dan program khas sepanjang tahun ini bagi memperkasa pengamal media, khususnya dalam mendepani cabaran era digital dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Pengarah IPPTAR Datuk Roslan Ariffin berkata peningkatan jumlah kursus itu selari dengan keperluan semasa industri media yang berdepan pelbagai cabaran termasuk penyebaran berita tidak sahih, kemunculan platform tidak bertauliah dan penurunan pendapatan organisasi media.
“Pada era hari ini, cabaran media begitu tinggi, terutama dengan perkembangan teknologi dan AI yang memberi kesan langsung kepada industri. Kita juga berdepan isu kewujudan pihak tidak berlesen yang menyamar sebagai wartawan sehingga menjejaskan kredibiliti berita.
“Perubahan landskap media turut menyaksikan penutupan syarikat media dan kehilangan pekerjaan dalam kalangan wartawan, sekali gus menuntut peningkatan kemahiran secara menyeluruh,” katanya selepas menghadiri Majlis Penutup Pengurusan Persepsi dan Reputasi melalui Media Tamil di sini hari ini.
Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi V. Mano merasmikan majlis penutup kursus yang dihadiri 25 peserta terdiri daripada wartawan media Tamil wilayah utara selama tiga hari itu.
Roslan berkata IPPTAR mengambil inisiatif memperkasa latihan bagi melahirkan wartawan serba boleh yang bukan sahaja mampu menulis, malah menguasai pelbagai kemahiran termasuk penyuntingan dan teknologi digital.
Beliau berkata sejak 2024, IPPTAR memberi penekanan khusus terhadap penggunaan AI sebagai alat sokongan dalam tugasan kewartawanan tetapi bukan untuk menggantikan peranan wartawan.
Menurut Roslan, kursus yang ditawarkan IPPTAR pada tahun ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding 70 kursus pada 2024 dan 80 kursus (2025), dengan kira-kira 20,000 peserta dijangka mendapat manfaat berbanding hanya sekitar 5,000 sebelum ini.
Sementara itu, Mano berkata kursus berkenaan adalah inisiatif IPPTAR bagi memberi pendedahan kepada pengamal media Tamil mengenai masa depan industri media dan penggunaan teknologi baharu.
Beliau berkata walaupun program IPPTAR lazimnya terbuka kepada semua, penyertaan kali ini memberi fokus kepada media Tamil susulan keperluan yang disuarakan sendiri oleh pengamal industri itu kepada Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil baru-baru ini.
“Menteri mencadangkan supaya peluang diberikan kepada pengamal media Tamil selepas sesi dialog awam bersama mereka, apabila mereka (wartawan media Tamil) menyatakan keperluan untuk meningkatkan tahap kemahiran, terutama dalam menghadapi perubahan teknologi seperti AI.
“Kami cuba kumpulkan pengamal media di zon utara untuk memberi pengajaran dengan tenaga pengajar berkaliber mengenai masa depan media dan bagaimana mereka boleh menggunakan pengetahuan ini untuk memperbaiki diri serta memastikan maklumat sahih sampai kepada masyarakat India berbahasa Tamil,” katanya.
Dalam pada itu, seorang peserta kursus S. Hemananthini, 33, dari portal berita Thisaigal News berkata program selama tiga hari itu memberi banyak manfaat, terutama dalam meningkatkan kemahiran kewartawanan dan turut menyifatkan program itu sebagai peluang terbaik untuk menambah ilmu dalam bidang berkenaan.
“Saya mendapat banyak pengetahuan baharu seperti cara menghasilkan berita yang inovatif dan kreatif serta aspek teknikal termasuk penggunaan AI, malah penceramah juga berkongsi pelbagai tip untuk menghasilkan berita yang tepat dan menarik minat pembaca dalam dunia masa kini,” katanya.
-- BERNAMA