BERLIN, 10 April (Bernama-dpa) -- Gianni Infantino mendapat sokongan padu daripada konfederasi bola sepak Amerika Selatan, CONMEBOL, sekiranya beliau bertanding semula sebagai presiden badan induk bola sepak dunia, FIFA, tahun depan, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Infantino menggantikan Joseph Blatter pada 2016, namun secara rasmi beliau hanya melengkapkan tempoh jawatan itu sebelum dipilih semula tanpa bertanding pada 2019 dan 2023. Di bawah statut FIFA, beliau dibenarkan untuk bertanding dalam satu lagi penggal terakhir pada 2027.
Infantino, 56, bagaimanapun belum mengesahkan secara rasmi sama ada beliau akan bertanding untuk penggal seterusnya.
Majlis CONMEBOL sebulat suara menyatakan sokongan kepada Infantino dalam satu mesyuarat pada Khamis.
“Terima kasih atas komitmen berterusan anda terhadap pembangunan bola sepak Amerika Selatan dan atas kepimpinan yang telah anda pamerkan di peringkat global,” kata Presiden CONMEBOL, Alejandro Dominguez dalam satu kenyataan.
“Kami amat menghargai hubungan erat anda dengan rantau kami dan visi anda untuk terus memartabatkan sukan ini di seluruh dunia.”
Infantino sebelum ini berdepan kritikan umum dalam beberapa perkara, termasuk hubungan akrab beliau dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Bagaimanapun, hampir tiada kritikan diterima daripada komuniti bola sepak sendiri dan setakat ini tiada calon berwibawa lain dilihat bakal mencabar beliau.
-- BERNAMA-dpa