GEORGE TOWN, 10 April (Bernama) -- Polis menumpaskan satu sindiket memberi pinjaman wang tanpa lesen (Along) di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur susulan penahanan lima lelaki tempatan dalam serbuan di bandar raya ini, pada Rabu lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata kesemua lelaki yang berumur 19 hingga 29 tahun itu ditahan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kontinjen Pulau Pinang hasil maklumat dan risikan menerusi Ops Vulture.
"Siasatan awal mendapati sindiket itu menawarkan pinjaman secara dalam talian dan secara bersemuka kepada peminjam dengan kadar faedah antara lima hingga 10 peratus secara mingguan atau bulanan, bergantung kepada keselesaan peminjam.
“Mereka menyasarkan golongan penjaja dan peniaga kecil di sekitar Pulau Pinang serta Kuala Lumpur sejak 2022 hingga sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata polis turut merampas pelbagai barangan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu antaranya 16 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah tablet iPad, satu fail dokumen, dua kad ATM serta tiga alat kawalan jauh kenderaan.
Selain itu, katanya, pihaknya turut menyita empat kenderaan iaitu sebuah kereta mewah jenis Mercedes dan Toyota Alphard serta dua Perodua Myvi dan Viva.
Azizee berkata kesemua lima lelaki yang mengaku sebagai rakan kongsi itu kini direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.
-- BERNAMA