JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Wanita Maut Dalam Kemalangan Lima Kenderaan Di Lahad Datu

12/04/2026 06:53 PM

LAHAD DATU, 12 April (Bernama) -- Dua wanita maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan, termasuk sebuah lori dan jentera pembinaan di Kilometer 14, Jalan Lahad Datu-Tawau di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu Superintenden Jimmy Panyau berkata dalam kejadian 4.30 petang itu, pemandu kereta Proton Saga berusia 21 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penumpang kereta sama berusia 35 tahun meninggal dunia semasa dihantar ke hospital.

“Berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku apabila Proton Saga yang dinaiki tujuh individu dari arah Tawau menuju ke Lahad Datu dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki lorong bertentangan.

“Kereta itu bertembung dengan sebuah lori rigid dumper (lori pembuang) dipandu lelaki berusia 45 tahun. Lori itu pula masuk ke laluan bertentangan, lalu melanggar kereta Perodua Alza serta sebuah motosikal sebelum kereta Perodua Alza itu melanggar jentera Hitachi di lokasi pembinaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata akibat kemalangan itu, lori dan kereta Perodua Alza berkenaan terjatuh ke gaung berhampiran kawasan pembinaan Jalan Pan Borneo.

“Lima penumpang kereta Proton Saga serta penunggang motosikal dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut manakala pemandu lori dan pemandu Perodua Alza dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2544032