KOTA BHARU, 11 April (Bernama) -- Empat objek disyaki bom ikan yang ditemukan berhampiran kawasan sempadan di pangkalan haram Nusi, Tanah Merah, berjaya dimusnahkan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Ahmad Radzi Hussain berkata penemuan itu susulan maklumat orang awam yang diterima kira-kira 2.30 petang semalam.
Beliau berkata bertindak atas maklumat berkenaan, sepasukan pegawai dan anggota Batalion 9 PGA bersama elemen keselamatan lain digerakkan ke lokasi sebelum menemukan empat objek mencurigakan dipercayai bom ikan di pangkal pokok kelapa sawit.
“Lokasi penemuan kira-kira 15 meter dari garis sempadan Malaysia-Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihak PGA kemudian memaklumkan perkara itu kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah sebelum cawangan persenjataan dihantar bagi menjalankan pemeriksaan awal.
Beliau berkata UPB dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan yang tiba di lokasi kira-kira 6 petang telah menjalankan pemeriksaan lanjut, dan mengesahkan semua objek itu merupakan bahan letupan buatan sendiri yang digunakan untuk aktiviti mengebom ikan.
“Kesemua bahan letupan itu berjaya dimusnahkan dengan selamat di lokasi kejadian,” katanya.
Ahmad Radzi berkata kawasan berkenaan dikawal rapi sepanjang operasi dijalankan bagi memastikan keselamatan anggota dan orang awam.
Beliau berkata motif penempatan bahan letupan itu masih dalam siasatan pihak polis.
-- BERNAMA