JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Tiga Individu Bantu Siasatan Kes Serang Wanita Sedang Siaran Langsung

12/04/2026 12:12 PM

SUNGAI PETANI, 12 April (Bernama) -- Polis menahan tiga individu bagi membantu siasatan kes seorang wanita diserang ketika sedang membuat siaran langsung menerusi media sosial di dalam keretanya di Bandar Laguna Merbok dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata mangsa dikatakan diserang oleh suspek yang menaiki kereta Toyota Vellfire pada 5.02 petang di hadapan sebuah rumah di kawasan itu.

“Sebuah kereta yang dinaiki empat individu dikatakan menghampiri mangsa yang berada di dalam kereta. Seorang suspek bertindak memukul muka, kepala dan badan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan.

“Kami menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dan seorang wanita berusia 29 tahun untuk membantu siasatan. Kes ini kami siasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa, iaitu seorang wanita berusia 28 tahun turut ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Hanyan berkata kesemua suspek ditahan tengah malam tadi di sekitar daerah itu.

Kejadian itu tular di media sosial sejak semalam yang memaparkan rakaman video seorang wanita yang sedang membuat siaran langsung menerusi platform media sosial di dalam kereta diserang serta dipukul oleh seorang wanita lain.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2543904