AM

Pantai Seberang Marang Jadi Tumpuan Aktiviti Candat Darat

11/04/2026 02:58 PM

MARANG, 11 April (Bernama) -- Pantai Seberang Marang, dekat sini menjadi tumpuan orang ramai yang ingin merasai pengalaman menjala dan mencandat sotong di tepi pantai.

Seorang peniaga makanan Azharuddin Mohd, 48, berkata kehadiran sotong di pesisir pantai pada musim ini lebih banyak dan agak luar biasa berbanding pada tahun-tahun sebelumnya.

Katanya, keadaan itu membuatkan ramai pengunjung dari sekitar Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus mengambil peluang mencandat di tepi pantai bersama-sama keluarga.

"Suasana di pantai Seberang Marang tahun ini sangat meriah dengan orang ramai berlumba-lumba mencari rezeki tambahan. Keadaan ini jarang berlaku.

"Biasanya, orang menjala ikan sahaja, tetapi tahun ini lebih fokus kepada sotong dan ada juga udang putih. Kalau mencandat di tepi pantai ini orang Terengganu sebut candat darat," katanya ketika ditemui pemberita di Pantai Seberang Marang di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk Zulkifli Abdullah, 63, berkata orang ramai akan membanjiri Pantai Seberang Marang untuk mencandat dan menjala sekitar waktu senja hingga tengah malam, menggunakan pelbagai jenis umpan.

Zulkifli berkata ada pengunjung yang berjaya memperoleh hasil tangkapan hingga 20 kilogram (kg) setelah mencandat dari petang sampai ke malam, namun ada juga yang pulang dengan hanya tiga ekor sotong.

"Saya hairan mengapa banyak sotong yang datang ke pesisir pantai tahun ini? Saya perasan sotong mula banyak selepas Aidilfitri tempoh hari.

"Ada yang datang mencandat dapat 2 kg, ada yang sampai 20 kg. Dua ekor pun ada … bergantung pada nasib, kemahiran dan umpan yang digunakan juga," katanya yang sudah lebih 50 tahun bekerja sebagai nelayan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2543673