AM

Kementerian Perpaduan Negara Selesai 147 Kes Berkaitan Komuniti Sepanjang 2025

11/04/2026 02:44 PM

PUTRAJAYA, 11 April (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) berjaya menyelesaikan 147 kes yang mencetuskan ketegangan dalam komuniti melalui pendekatan mediasi sepanjang tahun lepas, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan tersebut dalam mengurus isu perpaduan secara harmoni.

Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan pendekatan mediasi yang digerakkan oleh KPN, menekankan penyelesaian secara damai tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada tindakan berbentuk hukuman.

“Ini kerana tidak semua konflik memerlukan penyelesaian melalui tindakan perundangan. Sebaliknya, pendekatan berasaskan dialog, persefahaman dan tolak ansur mampu menghasilkan penyelesaian yang lebih mampan serta diterima oleh semua pihak,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan kementerian itu, mediasi merupakan satu kaedah alternatif dalam mengurus pertikaian atau perselisihan antara dua pihak dengan bantuan pihak ketiga yang neutral, iaitu mediator. 

“Peranan mediator adalah untuk memudah cara perbincangan, membantu kedua-dua pihak mencapai persefahaman dan seterusnya mencari penyelesaian yang dipersetujui bersama,” menurut KPN. 

Kenyataan itu memaklumkan bahawa perkhidmatan mediasi yang disediakan secara percuma dan dilaksanakan tanpa melibatkan proses litigasi perundangan itu menjadikannya lebih mudah diakses, cepat dan mesra rakyat.

“Antara isu yang sering dikendalikan termasuk masalah parkir, gangguan bunyi bising, perselisihan antara jiran, konflik kekeluargaan, isu alam sekitar serta pelbagai isu harian yang boleh menjejaskan keharmonian komuniti.

“Skop perkhidmatan ini merangkumi pelbagai isu yang mencetuskan ketegangan dalam komuniti setempat, sama ada di kawasan perumahan bandar, kampung atau strata," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, KPN menyatakan komitmen untuk terus memperkasa peranan mediator komuniti serta memperluas kesedaran rakyat terhadap kepentingan mediasi sebagai mekanisme utama dalam memelihara perpaduan dan keharmonian negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2543677