AM

10,000 Peniaga DBKL Terima Potongan Sewa Tapak 50 Peratus Hingga 2027 - Hannah

12/04/2026 03:11 PM

PUTRAJAYA, 12 April (Bernama) -- Sebanyak 10,000 peniaga di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima pengurangan kadar sewaan tapak 50 peratus selama dua tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.

Beliau berkata DBKL dan Perbadanan Labuan antara pihak berkuasa tempatan (PBT) terawal yang mengumumkan inisiatif yang bertujuan meringankan beban kos sara hidup peniaga, khususnya berikutan kenaikan harga minyak.

“Kami ada senarai panjang untuk (penerima di bawah) DBKL, iaitu 10,000 di semua tapak, termasuk medan selera dan pasar,” katanya selepas merasmikan Program Putrajaya Aktif di sini hari ini.

Pengurangan kadar sewaan tapak penjaja dan premis tertentu di bawah seliaan DBKL itu berkuat kuasa dari 1 April hingga 31 Dis 2027.

Pengurangan itu dilaksanakan melalui potongan sebanyak 50 peratus secara menyeluruh dengan kadar sewaan minimum ditetapkan pada RM50 sebulan. 

Bagi menikmati insentif kadar pengurangan itu, penyewa unit milik DBKL yang layak hendaklah terlebih dahulu menjelaskan sebarang tunggakan sedia ada.

Hannah berkata Perbadanan Putrajaya kini masih meneliti pendekatan terbaik sebelum melaksanakan langkah sama, termasuk menilai bentuk bantuan tambahan selain diskaun sewa.

Beliau bagaimanapun berkata buat masa ini kerajaan memberi keutamaan kepada pengurangan kadar sewa berbanding bentuk subsidi lain, mengambil kira kekangan kewangan serta keperluan menjana hasil alternatif.

“Apabila kami kurangkan sewa, kami perlu cari sumber hasil lain kerana kami juga berdepan peningkatan kos operasi termasuk kenaikan harga minyak,” katanya.

Hannah ketika mengulas program hari ini berkata kerajaan turut melancarkan kelas sukan percuma melibatkan sepak takraw dan lompat tali di Putrajaya sebagai langkah khusus menangani obesiti dalam kalangan kanak-kanak.

Beliau berkata program itu dipilih kerana kosnya rendah dan mudah dipraktikkan sendiri oleh kanak-kanak di rumah.

“Kelas ini diadakan dua kali sebulan, minggu kedua dan keempat, melibatkan 50 peserta setiap sesi di empat lokasi sekitar Putrajaya dan dilaksanakan sepanjang tahun,” katanya.

Hannah berkata inisiatif itu dilaksanakan bersama Kementerian Kesihatan, dengan fokus menyediakan program dan memupuk minat bersukan manakala aspek pemakanan dan kesihatan dipantau kementerian berkenaan.

Beliau berkata kerajaan turut merancang mendapatkan data kanak-kanak obes di Putrajaya melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi memperluas capaian program kepada kumpulan sasar sebelum diperluaskan ke kawasan lain termasuk Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2543887