ISKANDAR PUTERI, 11 April (Bernama) -- Rekod 20 kemenangan berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super 2025/2026 akhirnya terhenti selepas seri 1-1 menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, hari ini.
Skuad Harimau Selatan yang bergelar juara liga 12 musim berturut-turut bagaimanapun mengekalkan rekod tanpa kalah selepas mengharungi 21 perlawanan dengan baki tiga perlawanan lagi untuk melengkapkan kempen musim ini.
JDT mendominasi tempo permainan sejak awal dengan beberapa gerakan berbahaya, namun gagal memecah kebuntuan dalam tempoh 20 minit pertama.
TFC pula kekal berdisiplin dalam benteng pertahanan sambil melancarkan serangan balas yang menguji ketahanan benteng tuan rumah, sekali gus menjadikan perlawanan lebih seimbang selepas fasa awal penguasaan JDT.
Kebuntuan akhirnya terlerai pada minit ke-22 apabila Bergson da Silva menyudahkan hantaran Mohd Afiq Fazail untuk meletakkan JDT di hadapan.
Namun, kelebihan itu hanya bertahan 13 minit apabila skuad Penyu menyamakan kedudukan pada minit ke-35 menerusi Ehson Panjshanbe yang mendada hantaran Gervane Kastaneer sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol tuan rumah Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Babak kedua menyaksikan JDT terus meningkatkan intensiti permainan dengan penguasaan bola lebih dominan, manakala Terengganu FC kekal berbahaya menerusi serangan balas pantas.
Pada minit ke-47, pemain TFC Muhammad Ubaidulah Shamsul Fazili dilayangkan kad kuning selepas melakukan kekasaran terhadap pemain lawan.
JDT hampir mencipta jaringan kemenangan pada minit ke-77 apabila pemain gantian Muhammad Syahmi Safari melepaskan rembatan kencang dalam kotak penalti, namun percubaannya sekadar menggegar tiang sebelum bola melantun keluar.
Perlawanan tamat 1-1, dengan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
JDT akan melengkapkan tiga lagi baki perlawanan Liga Super musim ini menentang Melaka pada 28 April diikuti Kuala Lumpur City (2 Mei) dan Kelantan The Real Warriors (KTRW) pada 10 Mei.
-- BERNAMA