SHAH ALAM, 12 April (Bernama) -- Rezeki empat beradik berpeluang menunaikan ibadah haji bersama-sama tahun ini disifatkan sebagai anugerah terindah apatah lagi setelah sekian lama menunggu giliran untuk menjadikan impian itu satu kenyataan.
Bagi abang sulung, Abdul Aziz Hafiz Mohd Fadzil, 31, kegembiraan itu berganda apabila isterinya, Nur Shazwani Mohamad Radzi, 31, turut menerima jemputan sebagai tetamu Allah, sekali gus membolehkan pasangan itu menunaikan rukun Islam kelima itu bersama tiga adiknya.
Abdul Aziz Hafiz berkata bersama tiga adiknya, Nur Atiqah, 30, Nur Hafifah, 29, dan Abdur Rahman, 27, mereka tidak menyangka akan dipanggil lebih awal memandangkan giliran masing-masing sebelum ini dijangka akan tiba dalam tempoh dua tahun lagi.
“Memang kami adik-beradik tidak sangka jemputan ini datang serentak dan lebih awal dari jangkaan. Rasa macam satu rezeki yang sangat besar dapat pergi bersama,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor bagi Musim Haji 1447H/2026M di pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Pekerja swasta itu berkata keinginan mereka adik-beradik untuk ke Tanah Suci banyak didorong oleh kisah ibu bapa mereka, Mohd Fadzil Rahmat, 58, dan Mashitah Muhammad Kamaruddin, 67, yang telah menunaikan ibadah haji pada 1997.
“Alhamdulillah, mak dan ayah sudah lebih awal menunaikan haji dan itu memang jadi inspirasi untuk kami capai impian yang sama pada usia muda.
“Kami juga sangat berterima kasih kerana mereka telah mendaftarkan kami di Lembaga Tabung Haji (TH) pada 2009. Masa kecil mak dan ayah kalau kami dapat duit raya mereka akan simpan dan masukkan dalam akaun di samping simpanan bulanan secara berterusan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata dua adiknya, Nur Hafifah dan Abdur Rahman telah lebih awal menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi melaksanakan umrah pada November tahun lepas, sekali gus memberi sedikit kelebihan sebagai persediaan menunaikan haji.
“Saya sendiri belum pernah menjejakkan ke Makkah, jadi insya-Allah mereka akan banyak membantu kami di sana. Perasaan itu bercampur gembira tetapi dalam masa sama ada juga rasa gementar. Kami harap semuanya dipermudahkan,” katanya dan memaklumkan mereka akan berlepas ke Tanah Suci pada 23 April ini.
Empat beradik tersebut dijangka menyertai lebih 8,000 jemaah dari Selangor tahun ini bagi menunaikan rukun Islam kelima secara berperingkat bermula 18 April hingga 20 Mei, manakala penerbangan pulang dari Tanah Suci bermula dari 4 hingga 30 Jun.
-- BERNAMA