DUNIA

Iran Kata Kejayaan Rundingan Di Islamabad Bergantung Pada AS Tidak Kemuka Tuntutan “Menyalahi Undang-undang”

12/04/2026 03:18 PM

ISTANBUL, 12 April (Bernama-Anadolu) -- Iran pada Ahad berkata rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) di Islamabad hanya akan berjaya sekiranya Washington menggugurkan tuntutan yang disifatkan sebagai “berlebihan” dan “menyalahi undang-undang”, lapor Anadolu Ajansi.

Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei berkata proses diplomatik itu bergantung pada kesediaan AS untuk menunjukkan “kesungguhan dan niat baik”, selain mengiktiraf “hak dan kepentingan sah” Iran.

“Kejayaan proses diplomatik ini bergantung pada kesungguhan dan niat baik pihak lawan, tidak mengemukakan tuntutan yang berlebihan dan menyalahi undang-undang, serta menerima hak dan kepentingan sah Iran,” kata Baghaei.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial X, beliau berkata rundingan di Islamabad berlangsung tanpa henti sejak awal Sabtu, dengan kedua-dua pihak saling bertukar pelbagai mesej dan draf teks.

Baghaei berkata perkara yang dibincangkan merangkumi Selat Hormuz, program nuklear Iran, pampasan perang, pelonggaran sekatan dan “penghentian sepenuhnya perang terhadap Iran dan di rantau itu.”

Beliau juga berkata bahawa Tehran tidak pernah melupakan apa yang disifatkannya sebagai “niat tidak baik” AS dan rekod negara itu yang mungkir janji, selain tidak akan memaafkan “jenayah keji” yang dilakukan Washington dan Israel dalam perang baru-baru ini.

Sementara itu, Fars News Agency menolak laporan media Barat yang mendakwa berlaku “ketegangan serius” antara delegasi Iran dan AS semasa rundingan berkenaan.

Pakistan menjadi tuan rumah rundingan itu, yang dilihat sebagai rundingan langsung paling penting antara Iran dan AS sejak 1979, ketika gencatan senjata rapuh selama dua minggu yang diumumkan awal minggu ini masih berkuat kuasa.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2543974